Tiada Maklumat Yang Disembunyikan FMLLP – Kevin Ramalingam

PETALING JAYA 17 APRIL 2015. Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP , Kevin Ramalingam pada sidang media memperkenalkan beliau di Wisma FAM. NSTP/Osman AdnanKUALA LUMPUR 20 Julai – Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata dia tidak begitu pasti dengan apa yang dimaksudkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam dakwaannya mengenai berlaku ketirisan ke atas penjualan tiket final Piala FA dan Piala Malaysia.

Kevin juga berkata pihaknya tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan perlawanan itu kerana laporan mengenai pengendaliannya diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan semua pasukan yang bertanding.

Tunku Ismail, yang merupakan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), sebelum ini mendakwa beliau mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


“Ini adalah pendrive diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk be­kas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek,” dakwanya, yang dibuat menerusi akaun Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers (JST).

Kevin menjelaskan bahawa mu­sim ini merupakan tahun pertama FMLLP menguruskan Liga Malaysia (Liga M) dan mereka baharu sekali mengendalikan perlawanan akhir Piala FA iaitu melibatkan JDT menentang PKNS FC pada Mei.

“Yang berkaitan dengan perla­wanan akhir sebelum itu saya ti­dak dapat memberi sebarang ko­men kerana saya tidak terlibat. Saya fikir tidak elok jika saya mem­beri sebarang kenyataannya mengenainya.

“Kami di FMLLP masih baharu dan kami mempunyai pengalaman mengadakan satu sahaja perlawanan akhir Piala FA jadi saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan berlakunya ketidaktelusan seperti yang dinyatakan.

“Namun, pihak pengurusan FMLLP memandang serius teguran TMJ dan kami perlu memastikan agar ketidaktelusan penjualan tiket perlawanan akhir tidak berlaku disebabkan oleh pihak kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kevin turut memberitahu bahawa laporan mengenai perlawanan akhir diberikan kepada kesemua 24 pasukan yang bertanding dalam Liga M dan FAM.

“FMLLP menyediakan laporan mengenai perlawanan akhir kepada semua rakan kongsi kami iaitu 24 pasukan yang bertanding dalam Liga M begitu juga dengan FAM. Jadi kami tidak boleh menyorokkan apa-apa maklumat daripada mereka,” katanya.