Polis tembak mati suspek bunuh empat ahli keluarga

PULAU PINANG 14 Julai – Polis menembak mati seorang lelaki yang dipercayai menembak mati empat ahli keluarganya dalam kejadian di sebuah kilang memproses ayam di Batu Maung awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Razaruddin Husain @ Rasid berkata, penjenayah berkenaan ditumpaskan di persimpangan Jalan Pasar ke arah Jalan Balik Pulau, Air Itam di sini kira-kira pukul 6.30 petang tadi.


Penjenayah itu, Chung Chun Wah, 32, diburu polis sejak awal pagi semalam selepas dia menembak mati empat anggota keluarganya termasuk anak saudaranya yang berusia dua tahun pada pukul 2.55 pagi semalam.

Chung ditembak berhampiran kuil Buddha Kek Lok Si, kuil Buddha yang terbesar di Asia Tenggara yang merupakan tempat tumpuan pelancong.

“Penjenayah berjaya ditumpaskan di pekan Air Itam,” katanya.

Dalam kejadian pukul 2.55 pagi semalam, empat sekeluarga Toh Hock Choon, 50, dan pasangannya Tan Saw Sim, 55, serta Chung Wah Tong, 28, dan anak lelakinya Chung Ay Dey, 2, yang dikenali sebagai Ah Bee.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam twitternya mengucapkan tahniah atas kejayaan itu dengan menulis “Syabas STAFFOC@PDRMsia tumpaskan penjenayah selepas berbalas tembak di Air Itam Pg tadi. Suspek disyaki terlibat kes bunuh empat sekeluarga”.