Pemain Yang Mampu Beraksi Harus Terima Panggilan Skuad Kebangsaan

SHAH ALAM 17 Julai – Beraksi untuk negara adalah detik pa­ling membanggakan yang sentiasa didambakan oleh semua pemain bola sepak di dunia.

Itu pengakuan bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan yang berpendapat mewakili negara adalah satu tugas mulia hingga sukar untuk ditolak.

Zainal yang diminta mengulas isu persaraan empat pemain kebangsaan baru-baru ini berpendapat, semua pemain yang mempunyai kemampuan untuk beraksi bersama Malaysia harus menerima panggilan skuad kebangsaan.

“Pada zaman saya dahulu saya sentiasa ingin untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan dan saya mahu bermain selagi mempunyai kemampuan.

“Malah, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari juga pernah mengumumkan persaraan, namun apabila khidmatnya diperlukan dia tetap menyumbang bakti bersama skuad kebangsaan.

“Bagi saya untuk bersara daripada skuad kebangsaan itu adalah hak masing-masing namun jika masih mempunyai kemam­puan apa salahnya terus bersama pasukan negara sebaliknya jika sudah tidak mempunyai kemampuan maka bersara adalah pilihan yang akan dibuat,” kata Zainal dalam majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri.


Sepanjang bersama skuad kebangsaan pada 1984 hingga 1996, Zainal telah membuat 138 penampilan dan menjaringkan 78 gol untuk Malaysia.

Sementara itu, pertahanan Selangor, Mohd. Razman Roslan yang menyarung jersi kebangsaan ketika Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 berkata, usia empat pemain Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Amirul Hadi masih muda untuk bersara.

Namun, dia harus menghormati keputusan mereka.

“Saya tidak tahu ingin cakap macam mana kerana itu adalah pilihan mereka kerana pemain seperti mereka amat diperlukan oleh negara.

“Mereka mempunyai pandangan mereka tersendiri untuk membuat keputusan dan diharap ada pemain lain yang mampu pikul tanggungjawab bersama skuad kebangsaan,” kata Mohd. Razman.