Mulvey Direhatkan Berkuat Kuasa Hari Ini, Presiden Pbsnt Setuju Letak Jawatan

PRESTASI merudum pasukan Terengganu dalam dua perlawanan baharu-baharu ini jelas mengubah landskap kejurulatihan skuad Penyu apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini membuat keputusan drastik dengan ‘merehatkan’ ketua jurulatihnya, Mike Mulvey dan Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid turut bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya pasukan itu gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Datuk Wan Ahmad Nizam juga memaklumkan jawatan ketua jurulatih akan dipikul buat sementara waktu oleh penolong jurulatih, Mustaffa Kamal Abdul Wahab sambil dibantu ketua jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu, Roshadi Wahab dan calon ketua jurulatih baharu hanya akan ditentukan oleh jawatankuasa pengurusan baharu yang akan dibentuk kelak.

“Kita akan merehatkan ketua jurulatih (Mike Mulvey) berkuat kuasa hari ini dan keputusan ini tidak melibatkan mana-mana pemain memandangkan kita masih dibelenggu masalah kecederaan serta jendela perpindahan yang sudah ditutup.”

“Saya juga telah bersetuju untuk meletakkan jawatan tetapi proses pertukaran pucuk pimpinan perlu melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) terlebih dahulu kerana peralihan presiden perlu menggunakan saluran yang betul jadi kita akan buat AGM secepat yang mungkin.

“Tetapi jika Terengganu gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia, saya akan berundur secara automatik.


PBSNT rehatkan Mike Mulvey berkuat kuasa hari ini“Lebih baik saya mengundur diri, lebih-lebih lagi InsyaAllah YAB Menteri Besar akan mengambil alih jawatan presiden daripada saya dan itu lebih baik kerana jika kita lihat kebanyakan pasukan di Liga Malaysia, jawatan itu memang dipegang Menteri Besar kecuali Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pulau Pinang.

“Tempoh empat tahun yang diberikan kepada saya sudah cukup memadai, ternyata untuk membawa pasukan bola sepak terlalu sukar dan saya terpaksa akur jadi ini adalah keputusan terbaik,” katanya lagi.

Pengumuman itu dibuat dalam satu mesyuarat khas tengahari tadi yang turut dihadiri EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat.

Masalah kejatuhan prestasi bukan kali pertama berlaku kepada skuad Sang Penyu musim ini dengan Ahmad Yusof turut ‘direhatkan’ sebelum dipecat Februari lalu gara-gara prestasi hambar pada awal musim dan kemudian digantikan oleh Mike Mulvey yang mengalami nasib sama dengan rentetan empat kekalahan berturut dalam saingan Liga Super sepanjang bulan April yang lalu.

Kekalahan 1-2 kepada Melaka United 12 Julai lalu serta keputusan dimalukan 1-6 kepada musuh Pantai Timur, Kelantan kelmarin, ternyata membawa padah kepada jurulatih berasal dari England itu yang membawa kepada keputusan ini.

“Apa yang boleh saya katakana, PBSNT telah mengambil langkah yang berani dan profesional serta memikul tanggungjawab di atas apa yang berlaku dalam pasukan.

“Perkara ini bukanlah kali pertama berlaku dan insya-Allah saya yakin dan percaya dengan perancangan yang dilakukan secara bersama dalam mesyuarat hari ini (semalam) akan membuahkan hasil,” katanya.