Masih Gagal Bayar Tunggakan Gaji Pemain, Kafa Bakal Dihukum

Kafa Bakal Berhadapan Dengan Tindakan Disiplin.

Itu reaksi tegas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, rentetan daripada kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melunas gaji tertunggak lima bekas pemain mereka mengikut jadual yang telah dipersetujui.

Isu ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM akibat kedegilan KAFA sendiri yang tidak serius dengan tuntutan pembayaran gaji tertunggak melibatkan lima bekas pemain mereka.

Hamidin membayangkan persatuan itu tiada pilihan lain dan isu ini akan dilanjutkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas sambutan Hari Raya, selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang.

“KAFA masih belum melangsaikan bayaran keempat untuk bulan Jun, dan pembayaran ansuran harus diselesaikan pada penghujung 30 Julai. Jika mereka gagal melaksanakannya, hukuman menanti mereka,” katanya.

Tambah Hamidin lagi, isu ini dianggap selesai andai KAFA berjaya membuat pembayaran dalam masa terdekat atau sebelum isu ini dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib.

“KAFA mampu terlepas daripada sebarang tindakan disiplin jika menyelesaikan segala tunggakan mereka terhadap pemain-pemain ini.”


Pada Sabtu, Setiausaha Kehormat KAFA, Datuk Ismail Md Noor, mendedahkan kedudukan kewangan KAFA yang tenat sehingga menyukarkan proses pembayaran melibatkan  jumlah RM75,179.50, kepada Fitri Omar, Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj, Ahmad Fakri Saarani dan Amar Rohidan.

Beliau mengakui pihaknya tidak mampu untuk membuat sebarang pembayaran tunggakan gaji pemain buat ketika ini.

Ismail mendedahkan situasi semasa KAFA yang gagal untuk membuat sebarang pembayaran pada masa yang ditetapkan ekoran kekangan mengumpul jumlah wang yang diperlukan.

“Memang kami belum menyelesaikan pembayaran, kami sedang berusaha keras untuk mendapatkan wang daripada penajaan. Kami bukan tidak mahu bayar, cuma lewat daripada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Tiada jaminan pembayaran akan dilunaskan sebelum sambutan Aidilfitri, sebaliknya Ismail mengharapkan pengertian daripada bekas pemain Kelantan agar memberikan kelonggaran buat KAFA untuk mencari sumber kewangan dalam masa terdekat.

“Mungkin lepas hari raya, diharap pemain memahami isu ini, kita perlu sama-sama memahami situasi ini,” katanya.

Ismail turut memohon maaf dengan situasi terkini dalam usaha untuk diselesaikan secepat mungkin.