KJ Bentang Formula ‘Kembalikan Kegemilangan Bola Sepak’ Minggu Depan

Khairy-FAM-300x202BATU PAHAT 30 Julai – Formula yang dilihat bakal mengembalikan kegemilangan bola sepak, bakal dibentangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu hadapan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, bertindak atas kapasitinya sebagai menteri, beliau tidak boleh campur tangan sebaliknya bertindak menjadi ‘pemudah cara’ dalam usaha menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan induk itu.

“Saya kena muktamadkan formula itu, minggu hadapan saya kena bentangkan kepada Exco FAM dan saya harap mereka akan terima formula yang telah pun dapat restu Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Saya membantu sahaja sebab ini semua perlu dapat persetujuan FAM, saya tidak boleh buat keputusan bagi pihak FAM,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan FIT Malaysia Fasa II Johor di Stadium Batu Pahat di sini hari ini.

Khairy berkata, formula itu bakal melibatkan kesemua ‘pembesar’ bola sepak duduk semeja termasuk pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam usaha membangun sukan itu ke satu taraf yang boleh dibanggakan.

“Saya telah mengadakan perbincangan yang positif dengan Tunku Mahkota Johor (sebelum ini) tetapi Tunku Ismail hari ini berangkat ke Kuala Lumpur, saya kebetulan di Johor.

“Saya sedang mencari masa yang sesuai untuk mengadap Tunku untuk kita bincang secara muktamad formula yang akan dapat melihat baginda membantu pembangunan bola sepak negara,” katanya.


Ketika ditanya sama ada akan ada penglibatan langsung Tunku Ismail dalam ‘formula’ itu, beliau berkata: “Semua pihak saya rasa kena ada peranan yang dinantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air dan rakyat jelata yang mahu lihat semua bekerjasama.”

Beliau berharap dengan adanya formula itu, pertikaian yang berlaku dalam FAM dengan persatuan-persatuan bola sepak dapat dihentikan dan semua dapat menyumbang kepada kebangkitan dan kesinambungan pembangunan skuad kebangsaan memandangkan akhir tahun ini, akan ada perlawanan Piala AFF dan perlawanan kelayakan Piala AFC tahun hadapan.

“Kalau boleh kita semua duduk semeja…saya akan selaras formula ini dan (diharapkan) semua membantu bola sepak Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, Khairy mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM lebih sejam susulan kemelut yang melanda persatuan itu berikutan persaraan empat pemain JDT daripada skuad kebangsaan dan dakwaan Tunku Mahkota Johor mengenai bukti salah laku di dalam badan induk berkenaan.-BERNAMA