Khairy Bertemu Presiden FAM Esok

Tengku Abdullah: Jasa Boon Huat terus diingati“SAYA akan mengadakan perjumpaan dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada hari Selasa ini (esok).

Perbincangan yang bakal kami adakan pada perjumpaan itu nanti lebih banyak berkisar pada kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kebelakangan ini.”

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam ketika diminta mengulas kesediaan Presiden FAM itu untuk berjumpa dengan Khairy seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar utama semalam, namun tempat dan waktu perjumpaan tersebut masih belum dipastikan lagi.

Semalam, Tengku Abdullah bertitah bahawa baginda bersedia menemui Khairy bagi membincangkan kemelut yang membadai FAM sejurus selepas empat pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) mengumumkan untuk bersara daripada skuad kebangsaan dua minggu lalu.

Ekoran daripada tindakan pemain-pemain berkenaan, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap FAM, malah ada pihak yang mendakwa berlaku ‘aktiviti gelap’ dalam badan induk bola sepak negara itu.

“Saya akan bertemu Tengku Abdullah pada Selasa ini (esok) bagi membincangkan beberapa perkara agar situasi tegang ketika ini dapat dipulihkan,” demikian jawapan ringkas Khairy ketika ditanya berhubung kenyataan Presiden FAM seperti dilaporkan oleh beberapa akhbar utama semalam.


Khairy berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pusat Akuatik Petra Jaya semalam yang menjadi venue bagi acara terjun lelaki dan wanita sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching, Sarawak ketika ini.

Sejak beberapa hari lalu, FAM kembali dilanda kontroversi hangat apabila pemilik kelab Johor DT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan punca empat pemain pasukannya iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal meninggalkan skuad kebangsaan.

Walaupun alasan untuk memberi ruang kepada pemain muda menyertai skuad kebangsaan diberikan oleh empat pemain berkenaan, namun Tunku Ismail menyifatkan bahawa kelemahan dalam sistem pasukan Harimau Malaysia itu mungkin antara punca pemain terbabit membuat keputusan untuk bersara.

Malah, Tunku Ismail juga menjelaskan bahawa baginda memiliki ‘pendrive’ yang mengandungi maklumat terhadap kelemahan FAM serta beberapa dokumen yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung amalan salah laku dalam FAM.

“Buat masa ini, kita tidak boleh membuat seberang spekulasi dan bagi saya, elok berbincang bagi mencari jalan untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang wujud,” jelas Khairy yang sebelum ini meminta Tunku Ismail melaporkan kepada pihak berkuasa jika betul didapati berlaku salah laku seperti yang didakwa.

Kosmo