Keputusan Safiq, Aidil bersara pelik: Bakri Ibni

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mendakwa terdapat faktor luaran yang mempengaruhi keputusan Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak bersara dari menyarung jersi Harimau Malaysia.

Katanya, keputusan mengejut dua bintang Johor Darul Ta’zim itu kemungkinan bukan sepenuhnya daripada kerelaan mereka, apatah lagi sedang berada dalam prestasi cemerlang dan menjadi antara pemain terbaik di Malaysia.

Beliau juga menyifatkan ia satu kerugian bagi dua pemain itu ketika semua pemain ‘gila’ untuk menyarung jersi negara yang menjadi kebanggaan buat individu bergelar pemain bola sepak.

“Semua pemain gila nak wakili negara, ada yang kata pemain sekarang tidak mahu bermain untuk Malaysia sebab gaji atau elaun sikit, tapi bagi saya jika percuma sekali pun, pemain tetap akan bermain kerana ia satu kebanggaan.

“Dari logik akal, bukan keputusan yang tepat, sebagai seorang pemain, walaupun cedera mereka tetap nak bermain untuk negara. Inikan pula masih sihat, tetapi tidak mahu beraksi. “Pelik, dalam firasat saya, ada faktor lain di sebalik (keputusan) itu yang suruh mereka tak payah main.

 

Bakri Ibni merupakan penjaring gol pertama Malaysia ketika menewaskan Korea dalam kelayakan Olimpik 1980

Sebab saya tahu tiada seorang pemain pun yang tidak mahu wakili negara,” katanya kepada BH Sukan, semalam. Safiq dan Aidil yang masing-masing mengumpul 66 dan 68 penampilan bersama skuad kebangsaan mengejutkan kancah bola sepak negara selepas mengumumkan persaraan ketika baru berusia 29 tahun selain kudrat mereka sangat ditagih Harimau Malaysia.

Selain itu, Bakri turut menuntut dua pemain terbabit untuk memikirkan semula keputusan itu selain berharap pemain lain tidak mengikut jejak untuk bersara ketika kudrat mereka masih diperlukan dalam skuad negara.

Kiatisuk Senamuang menggelar Bakri sebagai guru dan bapanya kerana mendidiknya ketika bersama Perlis pada 1998

“Kepada dua pemain itu, tenaga Allah bagi bukan sepanjang masa, ilmu (pengalaman) sampai tua pun ada. Tapi tenaga ada hadnya, jika masih mampu bermain untuk negara, apa salahnya diteruskan.

“Kalau ada tenaga, saya juga mahu wakili negara. Ilmu dan pengalaman saya 10 kali ganda lebih banyak berbanding Safiq, cuma saya tiada tenaga untuk bermain lagi. Jadi saya harap mereka fikir yang terbaik,” katanya.

Berita Harian