Kenyataan Media Fam Berhubung Persaraan Empat Pemain Kebangsaan & Tuduhan TMJ

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memberi reaksi terhadap tindakan empat pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) – Aidil Zafuan Abd Radzak, Safiq Rahim, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang membuat keputusan secara tiba-tiba untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan, minggu lalu.

Selain itu, kenyataan media ini turut akan menjawab beberapa perkara melibatkan skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee dan juga hal lain berkaitan FAM yang telah dibangkitkan oleh Pemilk JDT iaitu Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi beberapa kenyataannya di laman sosial, baru-baru ini.

Pihak persatuan mengambil berat dan serius tentang perkara-perkara yang dinyatakan Tunku Ismail dalam kenyataannya itu. Walau bagaimanapun, pihak persatuan ingin membuat penjelasan terhadap beberapa perkara seperti di bawah:

1. PERSARAAN EMPAT PEMAIN DARIPADA SKUAD KEBANGSAAN

* Sudah tentu pihak persatuan terkejut dan kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh empat pemain tonggak skuad kebangsaan ini memandangkan pengumuman persaraan mereka ini dibuat secara serentak dalam tempoh selang tiga hari (pada Selasa dan Khamis lalu) dan pada masa yang sama ketika mereka masih pada kemuncak prestasi masing-masing dan juga masih aktif bermain bersama pasukan kelab mereka di saingan liga domestik.

* Ia juga satu perkara yang agak luar biasa kerana kelazimannya seseorang pemain yang membuat keputusan untuk bersara daripada aksi di pentas antarabangsa hanya melakukannya selepas tamat sesuatu kejohanan utama atau selepas mendapati dirinya mengalami kecederaan serius yang menghalangnya untuk terus beraksi di peringkat tertinggi.

* Justeru pihak persatuan dalam masa terdekat akan menghantar surat rasmi kepada keempat-empat pemain ini menerusi kelab mereka untuk meminta mereka secara peribadi menulis surat persaraan daripada skuad kebangsaan ini sebagai hitam putih dengan perlu menyatakan sekali sebab-sebab utama mendorong mereka untuk berbuat demikian.

* Saya juga meminta ketua jurulatih kebangsaan supaya mula untuk merancang persiapan pasukan tanpa pemain-pemain ini sebagai langkah awal jika mereka berempat ini tetap dengan pendirian untuk bersara di peringkat antarabangsa.

* Walau bagaimanapun, pintu terhadap pemain-pemain ini masih terbuka untuk kembali dipanggil ke skuad kebangsaan jika mereka mengubah fikiran dan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat kerana khidmat mereka masih diperlukan dalam skuad kebangsaan memandangkan mereka ketika ini masih tonggak utama pasukan.

2. RAMAI PEMAIN CEDERA KERANA SISTEM LATIHAN SKUAD KEBANGSAAN

* Kenyataan bahawa latihan skuad kebangsaan yang tidak berintensiti tinggi menjadi punca kecederaan pemain selepas pulang daripada kem latihan pusat adalah tidak benar.

* Sepanjang siri Jelajah Oceania skuad kebangsaan di Australia, Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji dari 11 hingga 29 Jun lalu (selama 19 hari termasuk tempoh perjalanan pergi dan pulang), hanya empat pemain mengalami kecederaan semasa perlawanan iaitu Shahrom Abdul Kalam (Selangor), Mahalli Jasuli (JDT) dan Abdul Latiff Suhaimi (PDRM) pada aksi pertama bertemu Papua New Guinea pada 17 Jun, manakala Zaquan Adha Abd Radzak (JDT II) mengalami kecederaan pada aksi kedua bertemu New Caledonia pada 22 Jun.

* Ini membuktikan kenyataan bahawa seramai lima pemain dari JDT pulang daripada kem latihan skuad kebangsaan dengan mengalami kecederaan adalah tidak benar.

* Kenyataan bahawa skuad kebangsaan hanya mengadakan empat sesi latihan sepanjang tarikh antara 19 hingga 29 Jun juga tidak tepat kerana jumlah sebenar sesi latihan yang diadakan sepanjang tempoh 11 hari itu adalah sebanyak tujuh sesi dan dalam tempoh berkenaan juga telah berlangsung dua perlawanan iaitu bertemu New Caledonia pada 22 Jun dan Fiji pada 26 Jun, selain tiga hari lain adalah untuk perjalanan penerbangan dari Brisbane, Australia ke New Caledonia, dari New Caledonia ke Fiji dan dari Fiji ke Kuala Lumpur.

* Begitu juga kenyataan bahawa skuad kebangsaan hanya menjalani latihan pada 11 hingga 12 hari saja sepanjang keseluruhan tempoh 30 hari latihan skuad kebangsaan turut tidak tepat.

* Bermula dari kem latihan pusat pada 22 Mei 2016 yang disertai 14 pemain (disusuli baki 11 pemain dari JDT pada 26 Mei) untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Myanmar di Yangon pada 28 Mei serta dua perlawanan Play-Off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste pada 2 dan 6 Jun di Larkin, sesi latihan telah diadakan adalah sebanyak 10 hari membabitkan 18 sesi, tiga hari untuk perlawanan dan dua hari untuk perjalanan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Yangon dan dari Yangon ke Johor Bahru.

* Selepas itu, pemain telah diberi rehat selama empat hari sebelum melapor diri pula untuk siri Jelajah Oceania pada lewat petang 11 Jun 2016.

* Sepanjang tempoh 19 hari itu, enam hari telah digunakan untuk perjalanan menaiki pesawat dari Australia ke Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji, tiga hari untuk beraksi tiga perlawanan persahabatan dan hari selebihnya untuk diadakan sesi latihan yang secara keseluruhannya adalah berjumlah sebanyak 13 sesi.

* Fakta-fakta di atas ini menolak sama sekali kenyataan bahawa latihan skuad kebangsaan adalah tidak mengikut momentum dan tidak pada intensiti tinggi serta jumlah sesi latihan yang tidak mencukupi sehingga mengakibatkan pemain mengalami kecederaan. Pihak barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sudah melakukan yang terbaik dalam menyusun program-program latihan yang dilakukan bersesuaian dengan keadaan semasa pemain yang berpuasa pada bulan Ramadan ketika itu.


3. JELAJAH OCEANIA PELUANG PEMAIN BENTUK KESERASIAN PASUKAN DI DALAM & LUAR PADANG

* Kenyataan bahawa pemain sudah letih dengan panggilan skuad kebangsaan dan menghabiskan masa berbulan-bulan untuk kem latihan pusat yang tidak memberi manfaat juga adalah sesuatu yang tidak benar.

* Pihak persatuan tidak perlu meniru program latihan pusat pasukan negara jiran dan mengikut tempoh waktu kem latihan mereka kerana jadual liga domestik untuk setiap negara adalah berbeza dan program latihan pusat skuad kebangsaan yang diatur perlulah mengikut keadaan dan tempoh waktu yang sesuai.

* Untuk mengendalikan skuad kebangsaan adalah jauh berbeza sama sekali dengan mengendalikan pasukan kelab. Ini kerana, di kelab seseorang jurulatih itu dapat bersama para pemainnya dari awal sehingga ke penghujung musim. Namun untuk mana-mana pasukan kebangsaan, bukan saja Malaysia, jurulatihnya hanya dapat mengumpul pemain pada tarikh kalendar FIFA dan juga ketika saingan liga domestik berhenti rehat. Masa yang suntuk itu saja yang ada untuk mereka membentuk keserasian pasukan dan yang penting perlu diketahui, tahap intensiti latihan dan perlawanan di peringkat antarabangsa dan domestik adalah berbeza.

* Tempoh rehat saingan liga domestik sepanjang bulan Ramadan lalu membolehkan kem latihan pusat dapat diadakan bagi memberi ruang kepada para pemain dipanggil membentuk keserasian, persefahaman dan keakraban di dalam dan juga luar padang memandangkan ini merupakan barisan baharu yang mula dikumpulkan oleh Datuk Ong Kim Swee selepas diberi tugas selaku ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan menggantikan Dollah Salleh pada awal tahun ini.

* Jika tiada kem latihan pusat dengan tempoh jangka masa panjang selama 19 hari sepanjang Ramadan lalu diadakan, skuad kebangsaan selepas ini hanya mempunyai tempoh latihan selama 9 hari pada September dan 10 hari pada Oktober untuk persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 pada pertengahan November depan.

* Terbukti bahawa kesan daripada 19 hari bersama ketika siri Jelajah Oceania pada bulan Ramadan lalu, kesemua 24 pemain yang dipanggil telah menunjukkan kerjasama berpasukan yang lebih baik dan keserasian serta keakraban antara satu sama lain tanpa sebarang reaksi menunjukkan mereka tidak gembira serta kurang selesa dengan program latihan yang diatur.

* Satu lagi kenyataan bahawa jumlah pegawai pasukan yang bersama skuad kebangsaan sepanjang siri Jelajah Oceania itu adalah lebih ramai daripada jumlah pemain yang dibawa adalah tidak benar. Jumlah pegawai bersama pasukan adalah sama seperti kelaziman mana-mana pasukan kebangsaan negara lain.

* Untuk siri Jelajah Oceania baru-baru ini, jumlah pegawai yang dibawa ialah seramai 16 orang terdiri daripada pengurus pasukan, ketua jurulatih, dua penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan, doktor, fisioterapis, masseur (tukang urut), dua kitman, penganalisis video (ISN), fisiologi sukan (ISN), koordinator pasukan, pegawai keselamatan dan pegawai media.

* Malah kenyataan bahawa pihak persatuan ada menaja wang membeli belah dan tiket-tiket percutian kepada pengamal media supaya mereka tidak mengkritik pasukan kebangsaan juga adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana sebagai contoh, bagi siri Jelajah Oceania ini, hanya wartawan dan jurukamera dari Astro Arena yang datang ke Fiji untuk membuat liputan, itu pun kesemua kos mereka dibiayai sendiri oleh syarikat mereka.

* Manakala media-media lain yang membuat liputan sepanjang tempoh siri jelajah berkenaan telah mendapatkan maklumat daripada laporan harian pasukan, berita-berita serta gambar-gambar terkini yang dimuat naik dari semasa ke semasa di laman web rasmi, laman Facebook dan Twitter persatuan, selain mereka turut menghubungi sendiri ketua jurulatih dan pemain-pemain untuk mendapatkan bahan berita.

4. FAM SENTIASA MENJAGA KEBAJIKAN PEMAIN KEBANGSAAN

* Kenyataan bahawa pihak persatuan tidak menjaga kebajikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan adalah tidak benar sama sekali kerana semua keperluan telah pun disediakan lengkap untuk mereka termasuk tempat tinggal di hotel, pakaian, makanan dan pengangkutan ke tempat latihan.

* Selain itu, setiap pemain yang dipanggil turut diberi elaun harian dan bonus perlawanan yang bersesuaian dan berpatutan sepanjang tempoh mereka berada dalam kem latihan pusat.

* Malah jika terdapat pemain yang mengalami kecederaan ketika kem latihan pusat, terdapat doktor pasukan dan juga fisioterapis untuk mengambil tindakan segera, malah jika perlu dihantar ke hospital, ia akan dilakukan dengan kadar yang segera. Semua ini sentiasa diambil serius oleh pihak pengurusan dan kejurulatihan skuad kebangsaan.

* Perlu dinyatakan juga bahawa para pemain yang beraksi untuk skuad kebangsaan, mereka ini turun beraksi adalah sepenuhnya demi nama dan maruah negara kita, Malaysia. Tidak sesekali di pihak persatuan memaksa mereka ini beraksi untuk organisasi atau pemimpin persatuan ini. Kepentingan negara adalah lebih besar daripada mana-mana organisasi.

* Kenyataan bahawa tiada langsung pemimpin FAM turun padang untuk mendekati para pemain dalam pasukan kebangsaan, itu tidak benar kerana sewaktu majlis berbuka puasa sebelum skuad kebangsaan berlepas untuk siri Jelajah Oceania pada 11 Jun lalu, Timbalan Presiden FAM, Dato’ Abdul Mokhtar Ahmad telah hadir sama dan turut sempat memberikan kata-kata semangat kepada para pemain.

* Selain itu, Abdul Mokhtar bersama-sama seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Afandi Hamzah serta dua Naib Presiden FAM, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan Dato’ Rozabil Abdul Rahman serta juga beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM lain turut turun padang ketika Majlis FAM Bersama Media 2016 di Wisma FAM, 22 Mei lalu yang turut disertai para pemain skuad kebangsaan.

* Malah pemimpin-pemimpin FAM yang lain juga sentiasa hadir dalam acara-acara atau program lain FAM di bawah jawatankuasa masing-masing dan tidak semestinya membabitkan program yang melibatkan skuad kebangsaan.

5. RAMAI AHLI PERNIAGAAN DALAM FAM & BUDAYA RASUAH

* Sudah tentu memang tidak dapat dinafikan yang terdapat ramai ahli perniagaan yang berada dalam organisasi persatuan ini memandangkan mereka ini dipilih dari kalangan mereka yang bertanding dari seluruh ahli gabungan FAM. Ini juga berlaku dalam mana-mana persatuan sukan kebangsaan yang lain.

* Malah selain ahli perniagaan, terdapat juga ahli politik dan pegawai dari jabatan kerajaan serta swasta yang menganggotai organisasi persatuan ini dan mereka ini sebenarnya terdiri daripada semua jenis golongan dari kalangan rakyat Malaysia.

* Kami di FAM juga tidak membenarkan budaya rasuah dalam organisasi persatuan ini kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut bertegas dalam menangani hal ini. FAM turut sudah menubuhkan Jawatankuasa Integriti untuk memantau bukan saja pasukan-pasukan bola sepak, malah keseluruhan pentadbiran dan juga barisan kepimpinan persatuan ini.

6. PENGURUSAN KEWANGAN FAM

* Pengurusan Kewangan FAM bukan terletak semata-mata di tangan Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tetapi segala keputusan mengenai perbelanjaan dan pemilihan penaja-penaja perlu melalui Jawatankuasa Kewangan yang dipengerusikan oleh Presiden FAM dan dianggotai oleh beberapa ahli dari Jawatankuasa Eksekutif FAM serta beberapa individu profesional sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk kelulusan.

7. FMLLP

* Kevin Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FMLLP adalah bertanggungjawab sepenuhnya kepada Lembaga Pengarah FMLLP.

8. DATUK ONG KIM SWEE AKAN HANTAR LAPORAN KEPADA MENTERI

* Seperti yang dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin pada Sabtu lalu, pihak persatuan akan mengutuskan surat dan menghantar laporan penjelasan mengenai program latihan dan prestasi terkini skuad kebangsaan selain ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee juga akan berjumpa sendiri dengan YB Menteri dalam masa terdekat untuk menerangkan mengenai keadaan semasa pasukan dan isu-isu berkaitan yang dibangkitkan.

Secara kesimpulannya, pihak persatuan sentiasa mengambil positif segala teguran dan kritikan daripada sesiapa saja termasuk Tunku Ismail atau lain-lain pengkritik di laman sosial untuk kami pegawai-pegawai di persatuan ini bekerja lebih keras lagi bagi memajukan tahap bola sepak di negara ini terutama prestasi pasukan kebangsaan kerana kami sedar yang sukan bola sepak ini adalah hak rakyat.

Malah demi untuk memartabatkan semula tahap bola sepak Malaysia, saya mewakili pihak persatuan bersedia pada bila-bila masa berjumpa dan duduk semeja bersama Tunku Ismail untuk berbincang dengan niat yang satu iaitu mahu menaikkan bola sepak negara.

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
ISNIN, 18 JULAI 2016