Kelantan Ikat Bekas Pemain Birmingham City, Morgaro Gomis

Meskipun dihimpit isu tunggakan gaji, Persatuan Bola Sepak kelantan (KAFA) tetap berbelanja apabila mengikat bekas pemain Birmingham City, Morgaro Gomis, untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Gomis menyertai The Red Warriors dengan status hebat selaku bekas pemain Birmingham City dan kelab ternama Scotland, Dundee United.

Pemain kelahiran Perancis berusia 31 tahun itu menggantikan tempat Jonathan Lucca sebagai pemain tengah bertahan.

Dia muncul pemain import kedua menyertai Kelantan pada jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia selepas Wander Luis dari Brazil.


“Berkali-kali bertanya, bunyinya kami tiada duit, keluarkan jurulatih tempatan dan ambil jurulatih luar, pemain import terus tukar. Kalau hendak tahu itulah bola. Kalau dalam bola rasa miskin, terus putus asa, tidak payah main bola lah,” Kata Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.

Hari ini, Gomiz diperkenalkan secara rasmi di Kota Bharu setelah bersetuju mengikat kontrak setahun bersama skuad Kelantan.

Gomis bagaimanapun tidak akan beraksi untuk aksi Piala Malaysia menentang Pahang pada Selasa.

Ini kerana dia perlu mendapatkan Sijil Perpindahan Pemain Antarabangsa (ITC) daripada pasukan terdahulu untuk didaftarkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Untuk mendaftar dengan FAM kena ada pelepasan, yang mana pelepasan hanya boleh kami proses selepas kami mendatangani kontrak pada hari ini. Diharapkan pada perlawanan menentang menentang Terengganu pada Jumaat, dia boleh menyertai pasukan,” tambahnya.