Kedah Harus Bangkit Selepas Dimalukan JDT

KEDAH perlu bangkit selepas dimalukan Johor Darul Takzim (Johor DT) 0-5 pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.

Naib Pre­siden Persa­tuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Othman Aziz berkata, beliau bimbang skuad Hijau Kuning itu akan menjadi lemah sekiranya terus mencatatkan kekalahan.

“Pengurusan pasukan dan jurulatih perlu berbincang dari hati ke hati untuk mengenal pasti kesilapan supaya dalam perlawanan akan datang, kita tidak tewas lagi.

“Kalau kita masih tewas selepas ini, maka itu akan menjadi petanda buruk kepada pasukan,” kata Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan kehormat ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Katanya, bedah siasat perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kekalahan besar Kedah kepada Johor DT yang merupakan pendahulu Liga Super pada malam kelmarin.


“Saya kira kekalahan tersebut mungkin kerana mereka telah bercuti agak lama sepanjang Ramadan selain kurang perlawanan persahabatan sebelum memulakan pertandingan Piala Malaysia dengan Sarawak dan Johor DT untuk Liga Super.

“Walaupun mampu menang dengan Sarawak namun kita tewas teruk dengan Johor DT dan ini perlu mendapat perhatian segera bagi memastikan momentum kemenangan dapat dikembalikan,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali skuad Hijau Kuning, Tan Cheng Hoe berkata, kekalahan besar itu berpunca daripada kesalahan individu dan kelemahan di bahagian pertahanan.

“Saya lihat bahagian pertahanan jadi kurang teratur ke­rana hilang fokus terutama apabila berhadapan tekanan pihak lawan.

“Apapun masalahnya, pemain perlu bangkit semula kerana mereka tidak mempunyai ba­nyak masa lagi apabila terpaksa bertemu dengan T-Team pada Rabu ini dalam saingan Piala Malaysia,” ujarnya.

Menjadi saksi kepada kelonggaran benteng pertahanannya, Cheng Hoe mengakui perlu melakukan rombakan bagi menempuh perlawanan seterusnya.

“Kami tidak boleh menyalahkan penjaga gol atau pertahanan.

“Bagaimanapun, saya akan melakukan rombakan terhadap barisan pertahanan dan mungkin juga penjaga gol,” jelasnya.