Kafa Perlu Dana RM6 Juta

kelantan gomoKOTA BHARU 8 julai – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendedahkan badan itu memerlukan dana berjumlah RM6 juta untuk menampung perbelanjaan pengurusan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tersebut merangkumi baki tunggakan hutang mu­sim lalu yang belum dilunaskan ekoran masalah kewangan.

“Tajaan yang digembar-gemburkan RM8 juta, namun realitinya yang masuk ke dalam akaun Kafa hanya RM4 juta bermakna kita kurang lagi RM4 juta.

“Ini bukan rahsia lagi dah, Kafa perlu bekerja keras kerana peruntukan menguruskan pasukan, bayaran gaji dan pengurusan sekurang-kurangnya RM1.2 juta sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Zakat Pelajar Luar Negara dan Pelancaran Buletin Khabar Oghe Parlime Terre di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, kelmarin.

Annuar memberitahu, Kafa sebelum ini bersetuju menukar nama pasukan, mengubah warna jersi kepada mana-mana penaja yang sanggup menaja pasukan 50 peratus atau lebih daripada bajet rasmi pasukan iaitu RM16 juta setahun.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap tindakan Kafa berbaloi bagi memastikan Kelantan terus mampu bersaing di arena bola sepak tanah air.

Dalam masa yang sama, Annuar berkata, pihaknya menjangka ada pemain import baharu akan dimasukkan ke pasukan Kelantan setelah pemain import, Jonathan Lucca kembali ke negara asalnya.

Kata Annuar, pihak Kafa mengekalkan keputusan Lucca untuk menamatkan kontrak bersama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) setelah pemain itu mengakui tidak boleh memberi tumpuan kerana bapanya baru meninggal dunia.