Felda Enggan Layan Provokasi TMJ

SHAH ALAM 24 Julai – Felda United enggan me­layan sebarang kritikan yang dilemparkan kepada mereka, sebaliknya menegaskan The Fighters kini ber­ada di landasan terbaik untuk memacu kejayaan dan mereka harus memberi tumpuan kepada diri sendiri berbanding kata-kata orang.

Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad menegaskan, beliau tidak melihat ke­perluan untuk melayani kritikan ketika ini kerana mereka ada perkara lebih besar untuk diberi perhatian iaitu mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

“Kami hanya mahu memberi tumpuan kepada pasukan bagi memenuhi sasaran memburu satu piala.

“Jadi segala apa yang berlaku (dakwaan) terhadap kami, biarkan sahaja. Yang penting, kami melakukan perkara yang betul dan berada di landasan yang betul. Kita fokus kepada matlamat pasukan.

“Berkenaan isu-isu ini, bukan kami tidak mahu layan cuma kami tidak mahu memberi ke­nyataan. Kita perlu memacu ke depan,” kata Zulkarnain kepada Utusan Malaysia dalam majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Bukit Jelutong hari ini.


Jumaat lalu, pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa, Felda United menggunakan duit yang sepatutnya diberikan kepada peneroka Felda serta dana kerajaan dalam kelab bola sepak itu.

“Saya bukan berjaya dengan membelanjakan duit rakyat atau wang untuk kegunaan peneroka.

“Kepada Ahli Parlimen Kota Tinggi, Ahli Parlimen Sekijang dan pucuk pimpinan Felda, beringatlah bahawa duit peneroka atau dana kerajaan sepatutnya digunakan untuk rakyat dan bukan bola sepak demi ke­sinambungan politik dan untuk menguntungkan sesetengah kontraktor-kontraktor Felda,” katanya dalam Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dakwaan yang dilemparkan Tunku Ismail adalah benar, Zulkarnain beranggapan itu adalah pandangan beliau.

“Tiada komen. Itu mungkin pendapat beliau. Kami di Felda United mahu fokus dengan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) atau visi kami iaitu dapatkan satu piala. Kami di barisan kepemim- pinan tertinggi Felda United tidak mahu memanjangkan isu tersebut,” katanya lagi.

Utusan