Eldstal Semakin Hampir Sertai The Fighters

Badan pentadbir Liga Malaysia mengesahkan sudah ada usaha daripada pengurusan Felda United untuk mendaftarkan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Junior Eldstal, pada jendela perpindahan kedua liga.

Langkah itu pasti turut menguatkan perkhabaran mengenai penghijrahan pemain sayap The Fighters, Hadin Azman, ke JDT sebagai pertukarannya.

Ketua unit pertandingan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Mohd Shazli Shaik Mohd, mengesahkan usaha Felda untuk mendaftarkan Junior.

Namun, setakat ini belum lagi terdapat usaha JDT untuk mendaftarkan Hadin secara rasmi sebagai pemain Johor Southern Tigers.


“Kami telah menerima makluman secara rasmi daripada JDT tetapi proses pendaftaran dengan FMLLP sehingga hari ini masih tiada sebarang pendaftaran,” kata Shazli.

Dalam pada itu, pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim, tidak menolak kemasukan Junior bersama pasukannya.

Namun, untuk Hadin ke JDT, ia memerlukan bayaran pampasan bagi menebus kontrak pemain itu yang juga tonggak Felda musim ini.

“Hadin merupakan seorang pemain utama pasukan. Jika pertukaran Hadin dan Eldstal dapat dilakukan, saya akan serahkan kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan perkara ini,” kata Irfan.