Elak Pemain Keletihan, Hanya Tiga Perlawanan Persahabatan Antarabangsa

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, hari ini mengumumkan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa “A” yang sudah pun disahkan untuk dihadapi skuad Harimau Malaysia kendaliannya pada tarikh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September dan Oktober ini.

Skuad Harimau Malaysia yang kini berada di ranking ke-167 dunia dijadual bertemu Indonesia (ranking 191) di Surabaya, Indonesia pada 6 September disusuli pertemuan dengan Singapura (ranking 158) di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober dan aksi menentang Afghanistan (ranking 150) di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Menurut Kim Swee, beliau bersama barisan kejurulatihan dan juga pihak pengurusan pasukan telah berbincang dan mencapai solusi terbaik untuk hanya mengadakan satu perlawanan persahabatan pada tarikh kalendar FIFA pada September supaya pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula 29 Ogos ini tidak terlalu keletihan selepas mengharungi jadual liga domestik yang cukup padat sepanjang Julai dan Ogos.

“Kami di pasukan kebangsaan mendapati para pemain akan mengharungi enam perlawanan sepanjang Julai (tiga perlawanan Liga Super dan tiga perlawanan Piala Malaysia) dan lapan perlawanan sepanjang Ogos (empat perlawanan Liga Super dan empat perlawanan Piala Malaysia).

“Jadi jika kami tetap meneruskan perancangan mengadakan dua perlawanan ketika kem latihan pusat skuad kebangsaan dari 29 Ogos hingga 6 September ini, ia dilihat hanya akan membebani para pemain yang dipanggil dan sebab itulah hanya satu perlawanan diatur iaitu bertemu Indonesia dan diharap para pemain dapat memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.


“Untuk tarikh kalendar FIFA pada Oktober pula, jadual liga domestik dilihat tidak begitu padat pada ketika itu dan kita telah mendapatkan dua perlawanan persahabatan bertemu Singapura dan Afghanistan yang dilihat boleh dijadikan persiapan terbaik menjelang Piala Suzuki AFF 2016.

“Bagaimanapun untuk kem latihan pusat terakhir sebelum ke Piala Suzuki AFF 2016, kami masih sedang memuktamadkan pasukan mana yang akan dihadapi pada November sebelum sepak mula kejohanan pada 19 November,” kata Kim Swee pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Berkaitan soal persaraan 4 pemain negara, Kim Swee memberi komen bahawa pintu sentiasa terbuka untuk pemain berbincang memperbaiki prestasi pasukan.

“Kita akan tengok dulu & analisa apa sebab persaraan 4 pemain terbabit” Ujar Datuk Hamidin apabila disoal media sama ada 4 pemain tersebut akan dikenakan tindakan daripada FAM.

Datuk Hamidin juga berkata beliau akan bertemu TMJ utk berbincang tentang isu yg timbul skrg ini.

Pihaknya akan menghantar surat menerusi kelab bola sepak itu bagi mendapatkan penjelasan pemain-pemain terlibat.

Kim Swee merancang untuk memulakan kem latihan pusat terakhir menjelang Piala Suzuki AFF 2016 pada 23 Oktober iaitu sehari selepas saingan Liga Super berakhir (bagi pemain yang pasukannya tidak layak ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober) dan disusuli pemain-pemain yang selesai beraksi final Piala Malaysia iaitu melapor diri pada 31 Oktober.

Bagaimanapun, jika pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke final Piala AFC 2016 yang dijadual pada 5 November, pemain-pemain dari kelab berkenaan hanya akan melapor diri pada 6 November.

Majlis undian bagi Piala Suzuki AFF 2016 yang dijadual berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember akan diadakan di Yangon, Myanmar pada 2 Ogos ini.

FAM