Bendahari FAM Beri Taklimat Kepada TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Mohamad Norza Zakaria berbincang KUALA LUMPUR 27 Julai – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menerima sebarang pandangan serta pendapat daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha untuk memperkukuhkan serta memperbaiki struktur pengurusan kewangan badan induk bola sepak negara.

Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau telah membuat kunjungan hormat mewakili badan induk bola sepak negara itu untuk memberi penerangan berkaitan keadaan pengurusan kewangan kepada pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail.

“Saya telah membuat kunjungan hormat ke atas Tunku Ismail untuk memberi penerangan secara terperinci mengenai pe­ngurusan kewangan FAM kepada beliau berserta hal-hal lain yang melibatkan kewangan.

“Saya juga telah meminta pendapat daripada Tunku Ismail bagaimana untuk memperkukuhkan lagi keadaan kewangan FAM seperti mana beliau lakukan terhadap JDT,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norza turut memaklumkan pertemuan yang berlangsung selama sejam di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru itu berjalan dalam suasana positif selain menerima maklum balas yang sangat baik daripada Tunku Ismail.

“Maklum balas yang diberikan oleh Tunku Ismail amat positif. Sebagai bendahari FAM, saya bersedia berbincang untuk memperbaiki serta memperkukuhkan lagi keadaan kewangan FAM.


“Selepas Tunku Ismail membangkitkan beberapa isu mengenai FAM, saya segera melakukan persiapan untuk memberi penjelasan kepadanya,” katanya lagi.

Sementara itu, TMJ dalam temubualnya dengan akaun Facebook Johor Southern Tigers berkata beliau telah diberi taklimat mengenai laporan kewa­ngan FAM dan menegaskan sekali lagi bahawa banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh badan induk itu.

“Terdapat banyak penyalahgunaan dana dan perbelanjaan yang tidak perlu dalam FAM. Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku! Mereka mengaku dan te­rima terdapat banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam FAM dan sesetengah individu bertanggungjawab perlu berundur.

“YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan akan datang berjumpa dengan saya beberapa hari lagi bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. Saya beri jaminan kepada semua penyokong bahawa saya akan sentiasa jujur dan telus kepada semua penyokong dan anda semua boleh bertanya kepada saya apa-apa jua perkara berkaitan isu-isu semasa sewaktu sesi soal jawab saya bersama penyokong,” katanya.

Utusan