Wayne Rooney Malu England Tersingkir

NICE 28 Jun – Ketua pasukan England, Wayne Rooney berkata dia malu kerana pasukannya tersingkir daripada Euro 2016 setelah tewas 1-2 kepada pendatang baharu Iceland dalam peringkat 16 terakhir.

Rooney menjaringkan gol pembukaan perlawanan selepas menyempurnakan penalti pada minit keempat namun Ragnar Sigurdsson menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian sebelum Kolbeinn Sightorsson meledak gol kemenangan.

Kekalahan tersebut turut memaksa pengendali England, Roy Hodgson meletakkan jawatan.

Kapten Manchester United, Rooney mengeluh apabila pasukannya kurang kreativiti dan berkata dia memahami kekecewaan yang dihadapi oleh penyokong.

“Peminat sentiasa memberikan yang terbaik, mereka menyokong kami dengan hebat dan kami berterima kasih untuk itu.


“Sebagai pemain saya faham kalau mereka rasa kecewa, marah dan sedih selepas apa yang berlaku malam ini. Kami tidak cukup bagus dan adalah sangat memalukan tersingkir daripada kejohanan ini.

“Iceland bertahan dengan baik, mereka tersusun membuatkan kami berada dalam kesukaran. Seperti yang saya katakan kami sukar untuk memecahkan benteng mereka bagi mendapatkan ruang.

Meskipun ketinggalan pada babak pertama, Rooney mendedahkan bahawa sebelum bermulanya aksi separuh masa kedua dia tetap yakin England mampu mencipta kemenangan.

“Kami sedih dan kecewa. Selepas bermula dengan baik kami kecewa apabila ketinggalan 2-1 pada babak pertama serta cara gawang kami dibolosi.

“Kami tahu mereka bahaya apabila melakukan balingan jauh ke dalam padang. Kami tidak bertahan dengan baik untuk (dibolosi) gol kedua. Kami yakin pada babak kedua kami boleh menang. Kami terus mengasak namun tiada kualiti dihasilkan.

“Kami tidak boleh melupakan dia (Hodgson) membawa masuk ramai pemain muda dan saya fikir England mempunyai masa depan yang cerah. Malangnya nasib tidak menyebelahi kami dalam kejohanan kali ini,” katanya lagi. – AGENSI