VIDEO Georgia Rentap ‘Mood’ Euro Sepanyol, Dimalukan Pasukan No. 137 Dunia

GETAFE 8 Jun – Pengendali Sepanyol, Vicente del Bosque me­ngakui, kekalahan memalukan 0-1 kepada pasukan No. 137 dunia, Georgia hari ini merosakkan ‘mood’ pemainnya menjelang Kejohanan Eropah (Euro) 2016 yang bermula pada Jumaat ini.

Memasang misi memburu kejua­raan hatrik Euro di Perancis, juara 2008 dan 2012 itu memulakan aksi di Coli­seum Alfonso Perez de­ngan menguasai babak pertama, malah memperoleh peluang menerusi Thiago Alcantara.

Namun, kesilapan pertahanan, Sergio Ramos membawa kepada jaringan Georgia, yang jarang melancarkan serangan. Pemain tengah mereka, Tornike Okriashvili menewaskan penjaga gol, David De Gea menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-40.

“Perlawanan hari ini sepatutnya digunakan oleh pemain untuk mendapatkan keyakinan dan mewujudkan ‘mood’ yang bagus dalam pasukan.

“Namun apa yang berlaku tidak seperti diharapkan dan ia sangat…sangat mengecewakan.

“Kami tidaklah bermain dengan terlalu teruk, tetapi kami gagal melakukan serangan yang tajam, selain tidak mampu menembusi benteng lawan yang amat tersusun.

“Kami tidak boleh berpuas hati dengan keputusan ini, tetapi kami tiada pilihan, kecuali menerima­nya.


“Memang ia keputusan yang teruk, tetapi kami tidak boleh biarkan kekalahan ­menganggu fokus dan persiapan yang telah dilakukan untuk menghadapi Euro. Ia tidak sepatutnya mewujudkan keresahan ,” kata Del Bosque.

Del Bosque melakukan enam pertukaran pada separuh masa kedua, termasuk membawa ma­suk perancang tengah veteran, Andres Iniesta.

Nolito, Gerard Pique dan Jordi Alba turut beraksi, tetapi tiada seorang pun daripada mereka berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Roin Kvaskhvadze.

Del Bosque mengakui, dia tidak gembira dengan aksi pemain tengah seperti Cesc Fa­bregas dan Alcantara. Kedua-dua pemain dikeluarkan pada babak kedua, dan kemasukan Iniesta serta David Silva menjadikan keadaan lebih baik.

“Pada separuh masa pertama Cesc, Thiago dan (Sergio) Busquets kurang memainkan pe­ranan di bahagian tengah, mungkin terlalu ramai orang berada di zon yang sama,” ujarnya lagi.

Jurulatih itu bagaima­napun menolak cadangan agar Sepanyol menukar corak permainan hantaran pendek yang menjadi asas pasukan selama ini semata-mata kerana kekalahan hari ini. –

“Menguasai permainan dan mengawal perlawanan adalah perkara positif, cuma selepas ini kami perlu menjaringkan gol,” tegasnya.

Sepanyol akan memulakan kempen Euro 2016 dengan menentang Republik Czech pada 13 Jun ini. – AGENSI