Vardy Hampiri Arsenal, United Buru Messi Selepas Zlatan

ARSENAL dijangka memuktamadkan perpindahan secara mengejut Jamie Vardy bernilai 20 juta pound dalam tempoh 24 jam dari Leicester City.

Perbincangan mengenai tawaran perpindahan Vardy dipercepatkan dan dalam proses untuk dimuktamadkan.

Arsenal yakin perjanjian itu akan diselesaikan dalam bentuk hitam putih sebelum Vardy berlepas untuk aksi Euro 2016 pada Isnin.

Menurut laporan The Guardian, Leicester enggan melepaskan penyerang berusia 29 tahun itu tetapi terpaksa merelakan pemergiannya jika beliau bersetuju dengan perpindahan tersebut.

Kehadiran Vardy amat bermakna kepada The Gunners yang berusaha keras untuk memulihkan jentera serangan pasukan itu.

Vardy akan mewakili skuad England dalam aksi Euro 2016 di Perancis di mana beliau akan memainkan peranan besar dalam pasukan kendalian Roy Hodgson.

Beliau tiba di Leicester dengan nilai perpindahan sebanyak 1 juta pound dari Fleetwood Town pada 2012.

Sementara itu Manchester United sedang dalam proses memuktamadkan terma kontrak selama setahun untuk Zlatan Ibrahimovic, dan pemain antarabangsa Sweden dijangka akan memuktamadkan perpindahannya ke Old Trafford sebelum Euro 2016 bermula pada 10 Jun ini.

Zlatan telah menolak tawaran yang dikemukakan Tottenham Hotspur.

Manchester United juga dilaporkan sedang mencuba nasib untuk mendapatkan khidmat bintang Barcelona, Lionel Messi dalam usaha memperkuat pasukan itu di Old Trafford pada musim baharu.

Sportsmail mendedahkan United mengemukakan dua tawaran dalam tempoh tiga minggu lalu dalam usaha untuk merealisasikan perpindahan pemain Argentina itu.

Sebarang perpindahan dilihat bertujuan untuk menggembalikan United berentap pada aksi Liga Juara-Juara dibawah kendalian Jose Mourinho bagi musim 2017-2018.

Jumlah perpindahan Messi akan mengatasi rekod perpindahan dunia sebanyak 85.3 juta pound yang ditawarkan Real Madrid terhadap Gareth Bale dari Tottenham Hotspur.

Kontrak semasa Messi di Nou Camp akan berakhir pada 2018.

United secara konsisten memberi tumpuan kepada nama-nama besar di bawah pimpinan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward.

Red Devils pernah mencuba untuk membawa masuk semula Cristiano Ronaldo malah turut berminat terhadap Bale dan Neymar pada tahun lalu.

Pada Jumaat, sumber yang rapat dengan Messi tidak menolak sebarang perpindahan mungkin berlaku.

Mereka mengakui bahawa Messi sering dikecewakan dan disakiti oleh media di Sepanyol berhubung kes cukainya.

Pemain berusia 28 tahun itu dan bapanya dituduh menggunakan satu rangkaian syarikat palsu di Belize dan Uruguay untuk mengelak daripada membayar sejumlah 4.16 juta euro cukai pendapatan Messi yang diperolehi menerusi penjualan hak imejnya pada 2007-2009.

“Saya tidak tahu apa-apa. Saya hanya bimbang mengenai karier saya,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes penipuan cukai itu.

mStar