Tempoh Dua Bulan Untuk Kafa Selesai Tunggakan Gaji Bekas Pemain

KUALA LUMPUR 7 Jun – Persatu­an Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah seterusnya dalam tindakan disiplin ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung isu tunggakan gaji terhadap lima bekas pemain mereka dengan mengeluarkan arahan masalah itu perlu diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

AHMAD FAKRI SAARANI (kanan) yang kini beraksi bersama Kedah adalah salah seorang daripada lima bekas pemain Kelantan yang masih belum menerima tunggakan gaji.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Abdul Aziz Yeop Jamaludin berkata Kafa diberi tempoh secara berperingkat selama dua bulan untuk menjelaskan bayaran gaji Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Nazri Ahmad, Mohd. Fitri Omar dan Amiridzwan Taj Tajudin yang berjumlah RM355,709.25.

“Berdasarkan hujah-hujah serta alasan yang diberikan oleh ke­dua-dua belah pihak, malah kami juga ada meminta cadangan serta pandangan daripada mereka untuk selesaikan perkara ini secara baik, jadi selepas segala perbincangan diadakan jawatankuasa sebulat suara meminta Kafa membuat bayaran pertama sebanyak RM75,179.50 dan hendaklah dibayar sebelum 30 Jun 2016. Ini adalah berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.

“Baki RM280,529.75 hendaklah dibayar oleh Kafa pada atau sebelum 31 Julai. Maknanya baki tersebut Kafa kena selesaikan kepada kelima-lima pemain tersebut. Sekiranya pada 31 Julai masih lagi gagal dijelaskan kami akan terus merujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib. Ini tempoh terakhir kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aziz menafikan sebarang dakwaan mengatakan Kafa tidak serius dalam menangani isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh mereka kerana badan induk bola sepak negeri itu sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi­nya itu.


“Saya tidak nampak Kafa mengabaikan perkara ini. Saya bukan mahu mempertahankan mereka sebab kita tahu mereka ada masalah (bayaran pampasan dan gaji) dengan bekas pengendali Kelantan, Steve Darby serta bekas penyerang import Gilmar Jose da Silva yang perlu diselesaikan.

BACA: Tempoh Berakhir, Kafa Masih Cari Jalan Langsai Hutang RM477,000

“Komitmen yang diberikan oleh Kafa selepas diberi penjelasan oleh Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Nor, memang mereka berusaha tapi terdapat kekangan. Dia kata macam sebelum ini ada pihak mahu beri duit tapi tidak jadi pada saat-saat akhir. Saya tidak nampak Kafa abaikan perkara ini.

“Mengenai penjadualan pembayaran secara berkala seperti yang Kafa rancangkan sebelum ini, saya ada tanya kenapa gagal dan mereka berkata sumber-sumber kewangan yang diharapkan tidak diterima oleh Kafa. Perkara seperti itu mereka tidak dapat jelaskan kepada umum tapi itulah yang berlaku sebenar­nya,” katanya lagi.

Utusan