Saya Yang Sepatutnya Ambil Sepakan Penalti Bukan Ramos – Iniesta

Pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta mendedahkan dia yang bertanggungjawab mengambil sepakan penalti dan bukannya Sergio Ramos ketika perlawanan terakhir saingan Kumpulan D berdepan Crotia berlangsung pada Rabu.

Sepanyol tewas 2-1 hasil jaringan gol minit akhir Ivan Perisic sekaligus mara ke pusingan 16 selaku pasukan di tempat kedua kumpulan.

La Furia Roja bagaimanapun berpeluang melakar kemenangan sekiranya sepakan penalti tersebut berjaya disempurnakan.

Kegagalan menyempurnakan sepakan tersebut turut membawa padah apabila Sepanyol terpaksa berdepan Itali di peringkat kalah mati.

Senario yang nyata berbeza akan dihadapi skuad kendalian Vicente Del Bosque sekiranya berjaya menamatkan saingan selaku juara kumpulan.


“Saya yang sepatutnya mengambil sepakan penalti itu, tetapi Ramos datang kepada saya dan memberitahu saya bahawa di yakin mampu menyempurnakan sepakan tersebut.

“Perkara sebegini sering berlaku dan apa yang kita mampu lakukan ketika ini adalah mempersiapkan pasukan untuk berdepan Itali,” jelas Iniesta.

Kegagalan mengelak Itali menyaksikan juara bertahan Sepanyol berkemungkinan berdepan Jerman di peringkat suku akhir dan Perancis di separuh akhir sekiranya kedua pasukan berjaya mara.

stadiumastro