Saya Tidak Pernah Kalah Bertemu England – Jurulatih Iceland

SELEPAS melakar kejutan  mara ke peringkat kalah mati, Iceland NICE 26 Jun – Pengendali Iceland, Lars Lagerback mempunyai keyakinan tinggi pasukannya mampu mengejutkan England dalam perlawanan pusingan kedua esok kerana dia tidak pernah tewas kepada Three Lions dalam enam pertemuan sebelum ini.

Jurulatih kelahiran Sweden itu telah melakar sejarah bersama Iceland dan dia bersedia menjadikannya lebih hebat lagi dengan mengalahkan pasukan yang dianggap pilihan dalam kejohanan ini.

“Saya pernah bermain menentang England enam kali dan saya tidak pernah kalah sekali pun kepada mereka,” kata jurulatih berusia 67 tahun itu.

Dalam enam pertemuan tersebut, Lagerback mencatat dua kemenangan dan empat seri ketika bermain dan melatih Sweden.

Malah, Lagerback juga memberi amaran kepada, dia bersedia menggunakan taktik yang tidak digemari Three Lions iaitu bermain secara defensif asalkan mampu melakar kemenangan.


“Saya tidak kisah kalau terpaksa bermain buruk atau membosankan kerana kadangkala permainan seperti itu diperlukan dalam bola sepak.

“Pada saya, tidak ada isu permainan bola sepak menarik atau cantik. Ia hanya bermain bagus atau buruk.

“Bola sepak sangat subjektif. Ada yang merasakan menarik itu adalah dengan melakukan banyak hantaran, ia lebih kurang seperti permainan Barcelona.

“Ada yang menganggap menarik adalah dengan lebih banyak membawa bola ke kawasan penalti lawan. Saya hanya mahu pemain saya bermain ‘bagus’,” katanya.

Lagerback tidak pernah berputus asa dengan formasi 4-4-2 dan bintang tengah veteran, Eidur Gudjohnsen terus memainkan peranan penting.

Dikenali sebagai ‘Ice Man’ dalam kalangan penyokong Cardiff, dia bersedia mengecewakan England.

“Semua penduduk Iceland menonton Liga Perdana Inggeris dan mengikuti perkembangan bola sepak Inggeris.

“Kami kenal setiap pemain England dan gaya mereka,” kata Gudjohnsen. – AGENSI