Saya 100 Peratus Cergas Dan Bersedia – Kane

Harry KanePARIS 25 Jun – Harry Kane membidas pengkritiknya yang mengecam prestasinya dalam Euro 2016, dan menegaskan dia 100 peratus cergas untuk perlawanan dengan Iceland.

Penyerang England itu masih belum menjaringkan gol dan diketepikan daripada skuad untuk perlawanan terakhir mereka di peringkat awal iaitu menentang Slovakia yang berakhir dengan 0-0, keputusan yang meletakkan pasukan Roy Hodgson itu di tempat kedua Kumpulan B.

Ada yang mengatakan kelesuan adalah punca Kane menunjukkan permainan yang tidak mencapai standard sebenarnya selepas mengharungi musim meletihkan bersama Tottenham, bermain sebanyak 50 perlawanan dalam kesemua pertandingan peringkat kelab.

Tetapi Kane menepis dakwaan yang dia kelesuan dan berkata dia berasa cergas dan bersedia untuk bermain, sekiranya diarahkan untuk menentang Iceland.

“Saya tidak letih, saya 100 peratus cergas dan bersedia. Jika dipanggil, saya akan bermain dan memberikan 110 peratus,” katanya.


Kane mengakui bahawa England, yang hanya menjaringkan tiga gol setakat ini, perlu lebih teliti di hadapan gawang dalam pusingan kalah mati selepas kelihatan kurang menyengat di peringkat kumpulan.

“Kami tidak menjaringkan banyak gol seperti yang sepatutnya kami lakukan, kami memiliki banyak peluang yang sepatutnya kami sudahkan dengan lebih baik. Anda perlu bersabar, dan saya fikir kami telah melakukannya. Kami telah menjadi pasukan yang lebih baik dalam setiap perlawanan yang telah kami harungi,” katanya.

Skuad Hodgson berkemungkinan bertemu tuan rumah Perancis dalam suku akhir, tetapi Kane berkata England tidak bimbang dengan siapa yang mereka akan bersemuka.

“Secara jujurnya kami tenang sahaja. Kami telah mendengar banyak yang diperkatakan mengenai undian dan siapa yang berkemungkinan kami hadapi tetapi kami adalah sekumpulan pemain yang berkeyakinan tinggi,” kata Kane.

England berhempas pulas untuk menembusi pasukan yang bertahan secara ketat di Perancis dan Kane menjangkakan Iceland juga akan menggunakan cara bermain yang sama seperti lawan mereka di peringkat kumpulan iaitu Rusia, Wales dan Slovakia.

“Itu adalah sesuatu yang perlu kami hadapi. Banyak pasukan yang akan menyaksikan permainan kami, dan pemain yang kami ada dan mereka akan cuba bertahan sebaik mungkin.

“Melihat kepada Iceland dan apa yang telah kami saksikan mengenai mereka setakat ini, kemungkinannya itulah yang akan mereka lakukan, memerangkap lawan menggunakan serangan balas.

“Tetapi jika kami mahu meneruskan kemaraan dalam kejohanan ini maka kami perlu mencari cara untu mengatasi pertahanan lawan,” kata Kane. – AGENSI

– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kane-nafi-keletihan-bidas-pengkritik-1.346993#sthash.NwwVq44J.dpuf