Roy Hodgson Nafi Rooney, Vardy Bersengketa

NICE 27 Jun – Pengurus England, Roy Hodgson menafikan ‘isu panas’ melibatkan kapten, Wayne Rooney dan Jamie Vardy, sebaliknya menegaskan, pasukan itu hanya memberi tumpuan kepada aksi pusingan 16 terakhir menentang Iceland awal pagi ini (3 pagi waktu Malaysia).

Beberapa laporan timbul pertengahan minggu lalu bahawa Rooney menggesa Vardy memberitahu isterinya, Rebekah agar tidak terlalu menonjolkan diri, merujuk kepada penglibatannya dalam kolum akhbar, penampilan di televisyen serta aktiviti media sosial yang boleh menjadi gangguan yang tidak dialu-alukan untuk pasukan.

“Saya tidak mempunyai petunjuk apa yang sedang anda perkatakan kerana tiada sebarang masalah antara Rooney dan Vardy.

“Sebaliknya mereka adalah kawan yang sangat rapat sama ada di atas padang atau di luar padang. Saya tiada idea apa yang anda maksudkan.


“Saya pasti akan menasihati Wayne kalau dia mengeluarkan kenyataan seperti itu. Semua ini jelas berita yang diputar belitkan, namun ia tidak memberi sebarang makna kepada kami,” kata Hodgson kepada media Britain.

England kini di bawah tekanan selepas hanya mampu menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, dan Hodgson menjangkakan pertemuan sukar dalam aksi menentang Iceland.

“Watak rakyat Iceland, kesungguhan mereka, keupayaan mereka untuk terus hidup melalui kesusahan. Saya pasti itu menjadi faktor utama peningkatan pasukan mereka.

“Namun kami semua sedar, sama ada kami pasukan pilihan atau bukan pilihan, perlawanan ini pasti sukar dan Iceland adalah lawan yang tidak mudah untuk dikalahkan,” ujarnya lagi. – REUTERS