Presiden Argentina Minta Messi Fikir Semula Keputusan Bersara

BUENOS AIRES – Pre­siden Argentina, Mauricio Macri mahu Lionel Messi menimbangkan semula keputusannya untuk bersara daripada pasukan kebangsaan selepas gagal membawa pulang trofi Copa America Centena­rio edisi ke-100 semalam.

Pada aksi final itu, Argentina gagal menjelmakan kemena­ngan selepas tewas kepada Chile 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti ketika kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol dalam tempoh 120 minit.

Bagaimanapun, akibat kekecewaan tersebut, bintang bola sepak Barcelona itu mengejutkan bola sepak Argentina selepas mengumumkan persaraannya di pentas antarabangsa ekoran kegagalan menjaringkan gol menerusi sepakan pertama yang melepasi palang gol.


“Saya ada hubungi dia (Messi) dan saya tetap bangga de­ngan pasukan kebangsaan ini. Saya harap Messi tidak terlalu mengambil hati dengan kritikan yang dilemparkan akibat kekalahan tersebut.

“Walaupun mengalami kekalahan saya tetap bangga dengan prestasi yang dipamerkan pa­sukan dalam saingan ini. Saya harap selepas ini kita semua dapat terus menikmati aksi pemain terbaik dunia pada tahun akan datang,” ujar Macri yang juga bekas Presiden Kelab Boca Juniors.

BACA: Messi Bantu Chile Juarai Copa America, Umum Bersara Wakili Argentina

Messi ternyata kecewa selepas melihat pasukannya terkandas dalam tiga perlawanan di pentas final termasuk kekalahan kepada Jerman pada Piala Dunia 2014 dan Copa America 2015.

Kekalahan ini sekali gus meneruskan kemarau buat Ar­gentina yang gagal menjulang se­barang kejuaraan sejak 23 tahun lalu. – Agensi