Pesawat TUDM Dipintas Jet Tempur Indonesia Dilaporkan Selamat

PUTRAJAYA – Sebuah pesawat pengangkutan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya dipintas oleh dua jet pejuang Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika terbang di ruang udara Kepulauan Natuna di Indonesia.

Perkara tersebut turut disahkan para pegawai Kementerian Pertahanan pada 26 Jun. Pesawat berkenaan ketika itu dilaporkan mengguna pakai laluan penerbangan biasa ditetapkan di tengah-tengah perairan Laut China Selatan.

Seorang pegawai kanan yang enggan dinamakan memberitahu agensi berita antarabangsa AFP bahawa dalam kejadian kelmarin, pesawat Charlie C130 tersebut dalam penerbangan dari barat Malaysia ke Sabah di timur Malaysia.

“Penerbangan di ruang udara Kepulauan Natuna adalah laluan penerbangan biasa,” kata pegawai tersebut, yang menambah pesawat C-130 berkenaan masih lagi dapat meneruskan penerbangannya ke Sabah meskipun dipintas.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi pihak media tempatan turut mengesahkan kejadian tersebut dan berkata: “Ya… pesawat itu memang dipintas oleh dua jet tentera Indonesia.”

Insiden berlaku dua hari selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo mengunjungi kepulauan tersebut dengan menaiki kapal perang – dalam satu langkah yang dianggap bagi menunjukkan kehebatan kuasa pihak TNI sendiri.

Sementara itu Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata, laporan penuh mengenai perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak pengurusan tertinggi sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Kita masih menjalankan siasatan mengenainya dan laporan penuh itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Operasi pesawat dijalankan seperti biasa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2015 peringkat Markas Tentera Udara dan Markas Pemerintahan Operasi Udara di sini hari ini.