Perancis Jangan Buat Malu – Marcel Desailly

PARIS – Bekas kapten legenda Perancis, Marcel Desailly menuntut pasukan tuan rumah Euro 2016 itu supaya bersungguh-sungguh meraih kemenangan pada aksi pertama saingan peringkat Kumpulan A yang disertai Romania, Albania dan Switzerland.

Sebagai rekod, Desailly pernah membantu Perancis meraih kejuaraan Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 selaku pasukan tuan rumah, sekali gus membuktikan skuad Les Bleus memiliki kekuatan di tempat sendiri.

Bagi penganjuran Euro 2016 yang kembali di Perancis pada kali ini, Desailly menyatakan kesangsiannya terhadap cara Didier Deschamps mempersiapkan skuad Les Bleus untuk meraih kejuaraan di laman sendiri.

Menurut Desailly, kemenangan pada aksi pembukaan Kumpulan A sangat penting buat Perancis bagi memenuhi jangkaan para penyokong terhadap keupayaan skuad tuan rumah tersebut.

“Saya berasa ragu-ragu setiap kali melihat jurulatih Perancis (Deschamps) memainkan taktik yang diterapkan. Semua persoalan itu akan terjawab pada perlawanan pembukaan nanti.


“Romania adalah pasukan yang saya suka, tetapi semua orang akan memberi pendapat jujur bahawa Perancis adalah lebih baik daripada pasukan-pasukan lain dalam saingan kumpulan ini.

“Perancis boleh menang kalau semua pemain mereka mempamerkan kesungguhan yang sepatutnya dalam setiap perlawanan. Bukan sekadar memenangi perlawanan pembukaan, tetapi juga memenangi Euro 2016,” ujar Desailly.

Bagaimanapun, Desailly menambah, Perancis wajar berasa malu dan tidak layak menjadi tuan rumah Euro 2016 sekiranya mereka gagal menewaskan Romania serta Albania dalam saingan awal peringkat kumpulan.

“Jika gagal tewaskan Romania di tempat sendiri, Perancis jangan buat malu. Kalau sekali lagi tewas pula kepada Albania, lebih elok Perancis jangan main bola sepak lagi,” tambah Desailly. – Agensi