Peniaga Sayur Menang Kereta BMW 520i

Kuala Lumpur: “Saya hanya mengetahui saya menang kereta daripada suami yang menjawab panggilan telefon daripada Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Itupun susah hendak percaya walaupun hati memang sentiasa menanti tuah cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP),” kata Asni Ambau, 47.

Peniaga sayur di pasar malam Inanam, Sabah itu tersenyum ceria sebaik diumumkan memenangi Cabutan Bulanan SSP BSN bagi Mei yang melayakkannya membawa pulang kereta mewah, BMW 520i.

“Alhamdulillah, saya gembira apabila usaha menyimpan dengan BSN selama lebih 20 tahun ini berbalas dengan tuah menang kereta.

“Memang dari awal menyimpan lagi saya sudah berangan untuk menang hadiah menerusi peraduan dan cabutan BSN, tapi tidak sangka pula mendapat kereta mewah,” katanya ketika ditemui di Wisma BSN di sini, semalam.

Menurut ibu kepada empat anak ini, dia hanya bermula di BSN dengan simpanan RM10 setiap bulan, sebelum berjinak-jinak dengan simpanan SSP.

“Niat utama ketika mula menyimpan di akaun SSP adalah untuk menang…tapi lama-lama amalan menyimpan itu bertukar jadi seronok.

“Setiap kali habis berniaga, saya akan peruntukkan RM20 untuk disimpan dalam akaun SSP.

“Walaupun ada masanya keluarga memerlukan wang, saya lebih rela berusaha mencari wang lain asalkan simpanan SSP tidak ditebus kerana yakin boleh mendapat hadiah,” katanya.


Hadiah disampaikan Naib Presiden Kanan atau Ketua Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komunitinya Datuk Mearia Hamzah.

Pada majlis sama, BSN juga mengumumkan jutawan pertama kempen 7 Juta Ringgit, 7 Jutawan, 7 Bulan (777) yang melayakkan pemegang SSP bertuah membawa pulang ganjaran bulanan RM1 juta sehingga Disember depan.

Proses cabutan itu bermula dengan Cabutan Istimewa, diikuti Cabutan Bulanan dan Remaja.

Chai Nam Kiong dari Kuala Lumpur dipilih sebagai pemenang Cabutan Istimewa, sekali gus melayakkannya mendapat ganjaran RM1 juta.

Turut diumumkan adalah pemenang hadiah utama Cabutan Bulanan SSP bagi Jun, Tengku Noraini Tuan Jaffar (Kelantan) yang membawa pulang hadiah utama Mercedes Benz C200 serta kategori khas Cabutan Remaja, Muhammad Izzul Afiq Zulkifli (Perak) yang memenangi RM10,000.

Dalam pada itu, Mearia berkata, BSN komited menunaikan impian penyimpan untuk bergelar jutawan menerusi kempen 777.

“Sebelum ini BSN menawarkan ganjaran RM1 juta hanya pada Cabutan Istimewa yang diadakan pada hujung tahun.

“Bagaimanapun, konsep BSN SSP diberi nafas baru dengan pengubahsuaian ganjaran yang menawarkan RM1 juta pada setiap bulan selama 7 bulan bermula 1 Jun hingga akhir tahun ini,” katanya.