Pengeluar Range Rover Evoque Saman Syarikat China

BEIJING – Syarikat Jaguar Land Rover (JLR) mengemukakan saman terhadap pengeluar kereta China, Jiangling Motor kerana didakwa meniru reka bentuk kenderaan firma British, Range Rover Evoque.

Menurut jurucakap JLR, saman itu telah dikemukakan di sebuah mahkamah di daerah Chaoyang, timur Beijing mengenai tindakan syarikat Jiangling yang melanggar ‘hak cipta dan melakukan per­saingan secara tidak sihat’.

Jurucakap itu yang memberitahu Reuters melalui e-mel bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Menurut seorang yang mempunyai pengetahuan dalam tindakan undang-undang berkenaan, saman itu berkaitan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Jiangling iaitu Landwind X7 yang meniru reka bentuk Evoque.


Jurucakap Landwind ketika dihubungi turut enggan mengulas.

Meskipun pengeluar di China se­ring dilabel gemar meniru, namun pengeluar kenderaan dunia bia­sanya enggan mengambil tindakan undang-undang kerana berasakan peluang mereka untuk menang di mahkamah tempatan adalah tipis selain berdepan tanggapan negatif orang awam bahawa syarikat asing mahu ‘membuli’ syarikat negara itu.

“Jika JLR menang kes ini, ia akan menyebabkan lain-lain pengeluar kenderaan akan turut mengambil tindakan sama,” kata seorang peguam, Chen Jihong daripada firma undang-undang Zhong Lun yang berpejabat di Beijing.

Sebelum ini kenderaan Landwind X7 SUV yang dikeluarkan pada November 2014 dikritik kerana hampir menyamai reka bentuk Evoque terutama dari segi reka bentuk, atap serta tingkap depan dan belakang. – REUTERS