Penagih Potong Kaki Jiran Warga Emas Sebab Tak Dapat Duit

PASIR MAS 19 Jun – Kejam dan tidak berhati perut, itulah yang berlaku kepada seorang warga emas apabila kaki kirinya dikerat sehingga putus oleh seorang remaja dipercayai penagih dadah di Kampung Tanjong Rendang, Lemal di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Mek Som Mat Diah, 89, turut cedera di bahagian muka dikatakan ditumbuk remaja berusia 19 tahun itu.

Ketika kejadian Mek Som tinggal bersama anak tunggalnya, Esah Dollah, 60, dan dikatakan sempat bergelut dengan suspek.

Difahamkan beberapa hari sebelum kejadian suspek dikatakan sering datang ke rumah mangsa untuk meminta wang namun permintaannya tidak dilayan.

Jiran mangsa, Azlan Harun, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang memarut kelapa sebelum didatangi kakaknya Nor Azita, 46, yang terdengar bunyi tangi­san kuat dari arah rumah warga emas yang terletak di hadapan rumahnya.


Menurutnya, dia kemudian te­rus bergegas ke rumah tersebut untuk melihat keadaan mangsa.

“Sebaik sahaja sampai, saya lihat suspek sedang memotong kaki Mek Som dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau. Remaja ini tinggal dekat dengan rumah kami.

“Apabila melihat kejadian itu saya terus menjerit meminta tolong orang kampung dan sebaik sahaja kami sampai di rumah Mek Som kaki kirinya telah putus,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Azlan memberitahu, dia bersama penduduk kampung terus mengepung dan menangkap suspek.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital Pasir Mas oleh penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Difahamkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan.

“Suspek sudah ditahan penduduk kampung yang melihat kejadian dan akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas esok untuk perintah tahanan reman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing terhadap remaja itu mendapati dia positif dadah.