Pemimpin Dan Budaya Menganjing – Rizal Hashim

Lanskap komunikasi untuk peminat sukan, khususnya pencinta bola sepak hari ini bebeza dengan dahulu.

Hari ini semua orang boleh jadi pelapor, wartawan tidak bertauliah, pengkritik dan pengulas kerana adanya ruang maya tanpa batasan.

Ini ditambah pula dengan sesetengah individu berpangkat pemimpin yang memperolok-olok dan merendahkan orang lain menerusi kenyataan sama ada dalam sidang akhbar mahupun di laman sosial. Dalam bahasa generasi hari ini, “kuat menganjing”.

Sukan sebenarnya tidak mengenal pangkat dan kedudukan.

Apabila mengenakan pakaian sukan, seseorang itu meninggalkan kedudukan, pangkat dan kemewahan di luar gelanggang.

Begitu juga apabila seorang individu memilih untuk menjadi seorang pemegang jawatan, sama ada presiden, pengerusi, setiausaha atau apa saja yang menuntut dia berinteraksi dengan orang ramai. Protokol diletak ke tepi untuk sementara waktu, ataupun sama sekali.

Tunku Abdul Rahman Sultan Abdul Hamid adalah anak raja yang menjadi Perdana Menteri pertama negara ini. Namun sehingga hari ini generasi yang beruntung dewasa dengan kepimpinan Alhmarhum menganggap Tunku Abdul Rahman benar-benar berjiwa rakyat.

Begitu juga nama-nama besar dalam dunia bola sepak dari 1950-an hingga 1990-an.

Selaku seorang pemimpin, Menteri Besar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Allahyarham Tan Sri Jamil Rais aktif dalam bola sepak dan tenis.


Siapa tidak kenal Tan Sri Elyas Omar?

Selain menjadi Datuk Bandar paling lama berkhidmat untuk Kuala Lumpur, Elyas membangunkan bukan saja bola sepak, bahkan sukan badminton dan lumba basikal hampir sekali gus dengan wawasan dan ketokohannya. Skuad Wilayah Persekutuan yang kemudian dikenali sebagai Kuala Lumpur dibarisi kelompok bintang seperti Fandi Ahmad, K. Kannan dan Malek Awab.

Namun Elyas menghormati lawan dan kawan.

Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil dianggap bapa pembangunan bola sepak Kedah. Kritikannya tajam dihalakan kepada FAM namun Allahyarham insan biasa yang menulis berdasarkan fakta dan pemerhatian profesional.

Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menjadi mangsa kecaman semua pihak atas kegagalan skuad bola sepak negara keluar daripada kepompong kegagalan namun beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengecilkan kemampuan orang lain sekalipun atas nama perbezaan pendapat.

Tidak ramai yang mengingati bahawa Pahang ada Pasukan Impian yang dibentuk oleh Tengku Abdullah pada 1992-1993, yang dianggotai Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Fandi dan Alan Davidson.

Malang sekali ada sesetengah pemimpin dilahirkan dengan memakan dari sudu bertatahkan emas atau individu yang gemar berpolemik, tidak memahami hakikat ini atau sengaja menolak hakikat ini atas dasar peribadi.

Sukan adalah padang yang setara untuk semua, tidak kira jika anda dibesarkan dalam ruang balairong seri, pernah menjadi anggota Jemaah Menteri atau lahir di dangau usang tanpa dinding.

Ada sesetengah individu cenderung memanipulasi kenyataan dan berbicara berunsur hasutan di laman sosial.

Ada yang kata dia berjiwa rakyat tetapi sebenarnya mudah melatah dan ikut protokol.

Dalam sukan juga, anda tidak boleh mengelak daripada dikritik. Apatah lagi jika anda kuat mengkritik.

Sempena Ramadan ini, ayuh kita bermuhasabah diri. Hentikan budaya menghasut atau menganjing yang mengundang sentimen amarah dalam kalangan pengikut yang akhirnya tidak membawa sebarang hasil.

Marilah berbincang, berkongsi pendapat dan pandangan dengan cara ilmiah dan profesional.

 

Rizal Hashim/Stadiumastro