Pemain Perlu Beri Aksi Terbaik Untuk Ke Final – Bernhardt

Frank Bernhardt (kiri) memberi arahan kepada pemainnya dalam sesi MELAKA 31 Mei – Pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017, Frank Bernhardt tidak mahu pasukan­nya berputih mata dalam perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara 2016 menentang Singapura, Jumaat ini.

Walaupun turun sebagai tuan rumah, namun beliau tidak mahu anak-anak buahnya ­menganggap ia satu kelebihan, sebaliknya mereka perlu memberi aksi terbaik dalam misi mencari tiket final.

Kata jurulatih kelahiran Jerman itu, kesemua empat negara yang bertanding berpeluang ke perlawanan akhir pada 5 Jun, tetapi bagi Malaysia, kemena­ngan dalam kejohanan yang julung kali diadakan ini amat penting.

“Walaupun ber­aksi sebagai tuan rumah, namun kita tidak boleh pandang mudah cabaran Singapura di bawah bimbingan jurulatih, Richard Bok.

“Pertemuan adalah seimbang dan saya anggap semua pasukan berpeluang muncul juara,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di sini, hari ini.


Malaysia dijadual menentang Singapura pada pukul 8.45 malam Jumaat ini, manakala Thailand dan Vietnam akan bersaing dalam satu lagi aksi di sebelah petang.

Mengulas mengenai penyenaraian semula pemain tengah Mohammad Farhan Roslan dalam skuad akhir 27 pemain, bintang muda Kedah itu disahkan pulih daripada kecederaan pangkal paha.

“Kita juga dimaklumkan Shah Amirul mengalami kecederaan lutut dan tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya dua minggu.

“Saya menaruh kepercayaan terhadap semua pemain kerana mereka mempunyai kualiti.

“Namun, dalam perlawanan sebenarnya apa yang penting adalah pemain dapat menemui keserasian sertai menyerap taktikal yang diberikan.

“Kami telah mempraktikan semua strategi yang mahu dicuba dalam sesi latihan dan harap pemain dapat menterjemahkannya pada perlawanan sebenar,” katanya.

Menurut Bernhardt lagi, walaupun misi utama Malaysia adalah untuk muncul juara, namun beliau juga mahu melihat sejauh mana pemain baharu dapat menyesuaikan diri dengan pasukan.