Pemain PDRM Gagal Ujian Doping Mahu Uji Sampel B

Kuala Lumpur: Penyerang skuad Liga Super Polis Diraja Malaysia (PDRM) Shafiq Jamal (gambar) yang gagal ujian doping kerana positif bahan terlarang methamphetamine stimulant akan memohon kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melakukan ujian sampel B.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin selepas dimaklumkan pemain terbabit.

“Melalui perbincangan awal, Shafiq mahu ujian sampel B dibuat. Jika FAM kata kos untuk membuat ujian ini atas tanggungan sendiri, jadi kami atau pemain bersedia membayar.


“Kami akan mengambil tindakan dalaman, buat masa ini tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku, sama ada dia tak sengaja atau sebaliknya,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini melaporkan dua pemain masing-masing dari PDRM dan Perak digantung serta merta FAM selepas didapati bersalah gagal ujian doping selepas perlawanan liga di Stadium Hang Jebat Melaka oleh Unit Doping Jawatankuasa Perubatan Sukan FAM pada 4 Mei lalu.

Perak bagaimanapun belum bersedia untuk mengumumkan nama pemainnya yang gagal ujian tersebut.