Nasib Malang Ronaldo, Portugal Berterusan

Cristiano Ronaldo holds his head in his hands after missing the best chance to break the deadlock from the penalty spot against AustriaPARIS 19 Jun – Nasib malang Cristiano Ronaldo dan Portugal berterusan apabila kegagalan pemain sensasi itu menyempurnakan sepakan penalti selain jaringannya di babak kedua dibatalkan kerana ofsaid menyebabkan skuad negara itu hanya mampu seri 0-0 dengan Austria dalam aksi Kumpulan F Euro 2016 di sini hari ini.

Ini menyaksikan pasukan pilihan itu masih belum mencatat kemenangan pada kempen kali ini di mana selepas dua perlawanan, Portugal seri kedua-duanya. Sebelum ini mereka seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Iceland.

Sudah pasti pemain yang dipersalahkan adalah Ronaldo yang sepakan penaltinya terkena tiang pada minit ke-79 diikuti tandukannya pada minit ke-85 yang menerjah jaring tetapi dibatalkan kerana terlebih dahulu telah ofsaid.


Walaupun kecewa Ronaldo sempat bergambar bersama peminatnya yang merempuh masuk ke padang.

Dengan keputusan itu, Portugal hanya memungut dua mata daripada dua perlawanan dan berada di tangga ketiga di belakang pendahulu, Hungary yang mengumpul empat mata dan Iceland yang juga mengumpul dua mata tetapi memiliki kelebihan jaringan.

Namun peluang keempat-empat pasukan daripada kumpulan ini termasuk Austria masih terbuka dengan perlawanan terakhir pada 23 Jun ini bakal menjadi penentu pasukan mana yang akan layak ke pusingan kedua kalah mati selepas ini.

Portugal akan bertemu Hungary manakala Austria akan menentang Iceland. – Agensi