Minta Gaji RM6.5j Semusim, KFA Lupakan Hasrat Dapatkan Dickson Nwakaeme

Kuala Lumpur: Gaji RM6.5 juta semusim yang menjadi syarat Dickson Nwakaeme kepada mana-mana pasukan berminat mendapatkan khidmatnya membantutkan hasrat Kedah untuk menjadikan pemain Nigeria itu awang import baru mereka.

Menurut sumber, nama Nwakaeme memang berada dalam radar Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk memperkukuhkan jentera serangan Helang Merah apabila pintu perpindahan dibuka. Namun, mereka terpaksa melupakan hasrat itu sebaik saja mengetahui gaji diminta terlalu tinggi.

“Nwakaeme sudah membuktikan kemampuannya sepanjang mewakili Kelantan dan Pahang sebelum ini. Memang dia seorang pemain yang bagus dan boleh membantu Kedah mengatasi ketumpulan barisan serangan.


“Tapi, saya difahamkan KFA tidak berani membuka mulut untuk melamarnya selepas mendengar gaji diminta RM6.5 juta semusim,” kata sumber itu sambil memberitahu syarat dikenakan Nwakaeme itu didedahkan sebuah pasukan yang cuba memancing khidmatnya pada awal musim.

Sementara itu jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe ketika dihubungi mengakui mustahil untuk pasukan Kedah mendapatkan khidmat Nwakaeme jika gaji yang diminta di luar kemampuan KFA.

“Saya ada mendengar jumlah gaji yang diminta tidak pastilah ia hanya khabar angin tetapi jika benar Kedah memang tidak mampu menggunakan khidmatnya kerana Kedah bukanlah pasukan yang mewah”

Jurulatih Kedah itu juga mengakui sedang mencari penyerang import baru untuk memperkuatkan pasukannya. Beliau juga tidak pasti sama ada khidmat Kahe dan Sandro akan dikekalkan atau tidak. “Saya memang perlukan khidmat Sandro tetapi jika beliau masih dibelenggu dengan kecederaan saya perlu cari pengganti beliau,” ujar Tan Cheng Hoe.