Messi Bantu Chile Juarai Copa America, Umum Bersara Wakili Argentina

CHILE mempertahankan kejuaraan Copa America buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Argentina menerusi penentuan penalti dalam aksi final Stadium MetLife, Amerika Syarikat pada pagi Isnin.

Kemenangan Chile itu membuatkan pemain terbaik dunia, Lionel Messi berada dalam keadaan kempunan untuk merangkul kejuaraan besar bersama Argentina.

Lebih malang lagi, penyerang Barcelona itu menjadi punca kekalahan Argentina selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila tendangannya tersasar di atas palang gol.

Perlawanan akhir yang mengimbau kembali final Copa America tahun lalu itu berlanjutan ke penentuan penalti selepas kedudukan terikat 0-0 sehingga masa tambahan.

Pemain Chile, Francisco Silva muncul hero Chile apabila berjaya menyempurnakan sepakan terakhir untuk memastikan skuad La Roja merangkul kejuaraan kedua pada kejohanan bola sepak benua tertua di dunia itu.

Dengan bintang tengah, Artur Vidal kembali daripada penggantungan, Chile mempamer penguasaan dalam perlawanan yang berlangsung agak tegang, di mana kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain pada waktu tambahan.

Messi bertindak menyendiri selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti yang akhirnya memberi kemenangan kepada Chile.


Lionel Messi selepas itu mengumumkan persaraan daripada pasukan kebangsaan Argentina selepas pasukannya tewas kepada Chile pada final Copa America, Isnin.

Daily Mail melaporkan, penyerang Barcelona berusia 29 tahun itu membuat keputusan tersebut selepas dia gagal menyempurnakan sepakan penalti  yang menyumbang kepada kekalahan Argentina.

Dalam perlawanan akhir Di Stadium MetLife, Aregntina tewas 4-2 dalam penentuan penalti selepas kedudukan terikat 0-0.

“Itu sahaja. Ia berlaku dalam empat perlawanan akhir. Ia telah akhiri antara saya dengan skuad kebangsaan.

“Keputusan telah dibuat, saya rasa (kemenangan) yang sangat  diperlukan. Ia tidak menjadi. Saya rasa itu sahaja. Apa yang saya rasakan sekarang ialah kesedihan,” jelasnya kepada siaran televisyen Argentina selepas perlawanan akhir itu.

Messi setakat ini belum mengubah pendiriannya dan keputusan itu juga dipercayai dibuat berikutan kemarahan pemain berkenaan terhadap Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

Menurut Fox Sport, rakan Messi dalam skuad Argentina menaruh harapan bahawa pemain berkenaan akan mengubah keputusan berkenaan.

Penjaga gol Argentina, Sergio Romero berkata, dia tidak menyangka Messi akan membuat pengumuman berkenaan kerana kekalahan itu bukan berpunca daripada dirinya sahaja.

Jelasnya, pengumuman itu mungkin dibuat ketika Messi berada dalam situasi terlalu sedih tanpa berfikir panjang.