Masalah Cukai Pendapatan Sebabkan Apek Disekat Ke Luar Negara

khairul-fahmiKUALA LUMPUR 20 Jun – Masalah tunggakan cukai pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi punca kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada 11 Jun lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam satu kenyataan berkata, Khairul Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apek ditahan di pintu keluar antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang pada 11 Jun 2016.

Katanya, ‎Khairul Fahmi terpaksa ditinggalkan di tanah air untuk menyelesaikan urusan cukai tersebut.

“Khairul Fahmi telah menyatakan akan menyelesaikan masalah tersebut supaya beliau dapat menyertai paukan pada baki perlawanan siri Jelajah Oceania 2016,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Media tempatan semalam melaporkan ketiadaan pemain berusia 27 tahun itu bersama rakan-rakan sepasukan menjadi tanda tanya.


Posisi penjaga gol utama sebelum ini digalas oleh Mohd Farhan Abu Bakar ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Papua New Guinea, Jumaat lalu.

Hamidin berkata, bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pihaknya menasihati pemain agar lebih prihatin terhadap perkara yang menyebabkan mereka dihalang ke luar negara.

“FAM juga akan lebih teliti serta mengambil inisiatif bagi membantu menyemak status sekatan perjalanan ke luar negara setiap pemain yang dipanggil ke kem latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara.

“Biar pun terlepas aksi bertemu Papua New Guinea, Khairul Fahmi masih dapat menyertai rakan sepasukan bagi menghadapi baki dua perlawanan persahabatan bertemu New Celedonia Rabu ini dan Fiji pada 26 Jun.

“(Itu pun) sekiranya beliau berjaya menyelesaikan masalah tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

‎Sementara itu, ‎sepanjang ketiadaan Khairul Fahmi selama lapan hari di Brisbane dan perlawanan menentang Papua New Guinea di Port Moresby, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut mempunyai Isham Tarmizi Roslan di posisi penjaga gol.