Mahu bersama JDT, Azrif Terus Merayu Kepada Selangor

Azrif NasrulhaqPEMAIN pertahanan kontroversi, Mohd. Azrif Nasrulhaq berjanji untuk menamatkan kariernya di Selangor sekiranya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membenarkannya berhijrah ke Johor Darul Takzim (Johor DT) pada jendela perpindahan pemain ketika ini.

“Selepas ini, saya akan melakukan perbincangan dengan FAS dan sangat berharap mereka sudi membenarkan saya berhijrah ke Johor DT dengan cara baik kerana saya mahu pulang (kembali mewakili Selangor pada masa depan) juga dengan cara baik.

“Sekiranya penghijrahan ini terlaksana, saya berikrar untuk kembali menyarung jersi Merah Kuning sebelum menamatkan karier sebagai pemain bola sepak kerana di sinilah tempat asal usul saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu tiba di ta­nah air bersama-sama skuad kebangsaan selepas mengharungi tiga perlawanan persahabatan dalam siri Jelajah Oceania sejak pertengahan bulan ini.

Sebelum ini dilaporkan, tonggak skuad kebangsaan itu mencetuskan isu hangat setelah hampir meletakkan sebelah ka­kinya ke kelab juara Superbest Power Piala FA 2016 pada awal tahun ini, namun segera membatalkan hasratnya apabila persetujuan gagal dicapai antara kedua-dua belah pihak.


Kini, selepas jendela perpindahan pertengahan musim dibuka, Azrif sekali lagi memohon secara terbuka mengenai hasratnya yang mahu mengubah haluan dengan mewakili skuad kendalian Mario Gomez itu.

Mengulas lanjut, bekas pemain Akademi PKNS FC itu turut terkejut apabila isu penghijrahannya diperbesar-besarkan kerana dia hanya menuntut apa yang dijanjikan oleh pengurus skuad Selangor, Amirudin Shari.

BACA: Azrif Sedia Tebus Kontrak Bernilai RM720,000 Untuk Ke JDT

“Saya akui ketika saya mahu berhijrah pada jendela perpindahan Januari lepas, pengurus (Amirudin) tidak mahu melepaskan saya. Namun, dia telah berjanji untuk melepaskan saya pada pertengahan musim sementara Selangor dapat mencari pemain pengganti yang bersesuaian.

“Bagaimanapun, mereka seperti tidak mahu melepaskan saya secara baik de­ngan melengahkan usaha untuk mencari pemain pengganti sedangkan saya hanya menuntut janji yang diucapkan oleh pihak pengurusan.

“Mengenai isu tidak hormati kontrak, saya bukan tidak mahu menunggu sehingga tamat tempoh kontrak atau penghujung musim ini. Johor DT telah membuat tawaran dan saya percaya ini adalah rezeki saya dan peluang seperti ini tidak datang selalu,” jelasnya.

Sebagai rekod, Azrif yang me­nyertai Selangor daripada pasukan Harimau Muda musim lalu, masih mempunyai kontrak sehingga Disember tahun depan dan nilai untuk menebus kontrak tersebut dianggarkan berjumlah RM720,000.

Sementara itu difahamkan FAS tetap dengan pendirian mereka untuk melepaskan Azrif sehingga hujung musim ini.