Kim Swee Tuntut Harimau Malaysia Kekal Momentum, Nafi Diprotes Pemain

Ong Kim SweePengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, percaya kemenangan selesa 3-0 ke atas Timor Leste dalam play-off Piala Asia 2019 di Stadium Larkin malam tadi, mampu melonjakkan keyakinan Harimau Malaysia.

“Kami bermain dengan hantaran-hantaran dengan cukup baik.

“Pemain mengikut arahan yang diberikan dan bermain secara berpasukan. Siapa pun penjaringnya tak penting, tapi ia kemenangan penting.

“Kami masih ada 90 minit lagi, tidak boleh hilang fokus.

“Ia kemenangan yang baik, sekurang-kurangnya kami akan kembali dengan lebih yakin,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Timor Leste, Fabio Da Silva, akur dengan kekalahan pasukannya.

Baginya, tindakan Kim Swee memasukkan beberapa muka baru turut memberi kesan positif buat Malaysia.


Sementara itu, Datuk Ong Kim Swee menempelak desas-desus kononnya wujud protes daripada barisan pemain negara terhadap dirinya.

Menurut jurulatih pasukan Harimau Malaysia itu, komitmen yang ditunjukkan pemain ketika menewaskan Timor Leste dalam aksi play-off Piala Asia 2019 malam tadi, sudah cukup untuk membuktikan tiada keretakan dalam pasukan.

Sebuah akhbar arus perdana semalam melaporkan mengenai protes dalam diam yang dilakukan pemain terhadap Kim Swee.

“Kalau anda memberitahu bahawa pemain melakukan sabotaj terhadap saya, ia mengarut!

“Siapa yang menimbulkan isu ini, dia mempunyai agenda tersendiri.

“Saya tak anggap ini sebagai isu, saya cukup kenal pemain saya dan kemampuan sebenar mereka.

“Jika mereka kalah, saya akan pertahankan. Jika menang, merekalah yang akan mendapat pujian,” tegasnya.

Pemangku kapten skuad negara, Aidil Zafuan Abd Radzak, turut menafikan perkhabaran itu.

Bagi Aidil, setiap pemain memberi komitmen terbaik menyarung jersi negara dan mereka tiada masalah dengan Kim Swee.

“Ia perkara yang mengarut. Sebagai pemain, kami memberi komitmen 100 peratus semasa menyarung jersi kebangsaan.

“Begitu juga di kelab.

“Tolong jangan jadikan ini sebagai isu sehingga menjatuhkan pemain,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Stadiumastro