Kim Swee Mahu Pemain Tebus Kesilapan, Hormat Cabaran New Caledonia

KETUA jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memberi amaran awal kepada barisan pemain pasukan itu agar kembali bangkit ketika bertemu New Caledonia pada aksi kedua dalam Siri Jelajah Oceania 2016 hari ini.

Ini kerana Kim Swee tidak mahu kesilapan tewas 0-2 kepada Papua New Guinea berulang dan beliau menyedari skuad negara bakal berdepan masalah sekiranya mereka memandang mudah cabaran New Caledonia.

Sebelum ini, skuad negara dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Papua New Guinea pada 18 Jun lalu dan kini, pe­ngendali kelahiran Melaka itu menuntut kebangkitan Harimau Malaysia.

Bagaimanapun, Kim Swee sedar bahawa tugas itu bukan mudah, apatah lagi beraksi di gelanggang lawan yang menjadi New Caledonia sebagai skuad pilihan.

“Kami dalam persiapan untuk kejohanan Asia Tenggara (Piala AFF Suzuki) pada November depan. Jadi, kami memiliki tiga perlawanan di Oceania. Bermula dengan Papua New Guinea, New Caledonia dan akhir sekali, Fiji.


“Jadi, itulah persiapan kami untuk menghadapi kejohanan pada November depan. Kami mengetahui New Caledonia baru menamatkan aksi dalam kempen Piala Nation dan sudah tentu mereka adalah pasukan bagus.

“Saya percaya kami memiliki perlawanan yang sama seperti menentang Papua New Guinea. Jadi, ia bukan mudah. New Ca­ledonia sudah pasti memiliki ke­lebihan beraksi di laman sendiri. Saya melihat ia akan menjadi aksi sukar buat kami,” katanya sidang akhbar semalam.

Dalam perkembangan sama, kapten Harimau Malaysia, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak optimis bahawa dia bersama rakan-rakan sepasukan mampu melakukan sesuatu dalam misi kembali bangkit da­ripada kekalahan kepada Papua New Guinea.

“Kami datang ke sini untuk menang tetapi saya sedar bahawa New Caledonia adalah pasukan yang bagus. Jadi, untuk perlawanan esok (hari ini), kami akan cuba yang terbaik untuk menang kerana perlawanan ini cukup penting buat pasukan,” katanya.

Kosmo