Khairul Hafiz Jantan Pelari Pecut Remaja Terpantas Asia

Khairul Hafiz Jantan mencipta kejutan apabila mengungguli acara 100 meter untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.

Ia merupakan sejarah buat negara kerana ia adalah pingat emas sulung Malaysia dalam kategori 100m sepanjang penyertaan atlet kebangsaan sejak ia dipertandingkan pada 1986.

Atlet yang bakal mencecah usia 18 tahun pada bulan depan itu mencatatkan masa 10.36 saat, meninggalkan pelari Jepun, Ippei Takeda di tempat kedua (10.41s) dan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.45s).


April lalu, di Terbuka Filipina, Khairul Hafiz Jantan mencatatkan rekod peribadi terbaiknya, 10.41 saat, sekali gus sebagai satu isyarat prestasinya yang semakin meningkat.

Badrul Hisyam Abdul Manap pula, yang disebut-sebut sebagai pilihan dalam acara ini, bagaimanapun terpaksa berpuas hati menamatkan larian di tempat kelima selepas mencatatkan masa agak perlahan, 10.54 saat.

Stadiumastro