Kami Akan Bermain Lebih Agresif Untuk Dapatkan Banyak Gol – Jurulatih Timor Leste

PEMAIN Malaysia , Baddrol Bakhtiar (dua dari kanan) bersalam JOHOR BAHRU 5 Jun – Gempur habis-habisan kubu pertahanan Malaysia!

Itulah misi dan pilihan yang ada dalam minda skuad Timor Leste apabila bertarung dalam perlawanan kedua playoff kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini malam esok.

Ketua jurulatihnya Fabio Joaquim Maciel berkata pihaknya telah mengenal pasti kelemahan skuad sehingga menyebabkan mereka kalah dalam pertemuan pertama Khamis lalu dan memperbaikinya dalam sesi latihan untuk menghadapi Harimau Malaysia esok.

“Ini merupakan peluang terakhir untuk pasukan kami. Jadi, kami akan mencari sebanyak mungkin gol pada separuh masa pertama.

“Kami akan bermain secara lebih agresif dengan melancarkan serangan demi serangan ke atas kubu Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.


Walaupun mengakui kekalahan 0-3 kepada Harimau Malaysia pada Khamis lalu agak besar, namun dia tetap optimis peluang Timor Leste masih terbuka.

Maciel turut memberitahu tiada pemainnya yang mengalami kecederaan selepas perlawanan terdahulu dan akan menurunkan skuad terbaik dalam perlawanan berkenaan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Diogo Santos Rangel berharap rakan sepasukannya tetap fokus dan memberikan komitmen jitu dalam perlawanan tersebut.

“Walaupun peluang untuk menang agak tipis, namun kami masih ada 90 minit untuk berjuang dan mencipta kejutan, sekali gus mengharapkan tuah memihak kepada kami,” katanya.

Utusan