Itali Tidak Senaraikan Pirlo Untuk Skuad Euro 2016

Andrea Pirlo, 37, tidak berkecil hati dengan keputusan ketua jurulatih, Antonio Conte, yang tidak menyenaraikannya dalam skuad Itali dalam Euro 2016 bermula 10 Jun ini.

Pirlo telah menyertai pelbagai kejohanan utama untuk negaranya sejak Euro 2004, tetapi khidmat perancang itu dilihat berakhir selepas bekas jurulatihnya di Juventus itu mengumumkan skuad Itali minggu lalu.

“Saya sudah bercakap dengan Conte dan saya tidak berasa kecewa,” kata Pirlo. “Dia tahu apa yang dia perlu buat dan apa yang tidak.”

“Kami telah berbincang dan kedua-dua pihak telah membuat keputusan masing-masing. Dia jurulatih, dia berhak ke atas keputusannya dan menentukan apa yang terbaik baginya.

“Saya harap Itali memenangi kejohanan ini walaupun Jerman, Sepanyol dan Perancis menjadi pasukan pilihan,” tambahnya.


Conte sebelum ini berkata, pemain New York City itu dan Sebastian Giovinco (Toronto) terpaksa membayar harga mahal akibat keputusan mereka beraksi dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.

Conte menjelaskan, Pirlo perlu kembali ke tanah air sekiranya mahu meneruskan kerjayanya di peringkat antarabangsa.

Pirlo telah membuat penampilan antarabangsanya yang ke-116 ketika menentang Malta dalam kelayakan Euro pada September tahun lalu. Sebulan kemudian, dia turut dipanggil untuk menentang Azerbaijan dan Norway, namun tidak dapat beraksi kerana masalah kecederaan.

Itali diundi dalam kumpulan E, bersama Belgium, Republik Ireland dan Sweden dalam Euro 2016 yang akan berlangsung dari 10 Jun hingga 10 Julai di Perancis.