Giliran Sturridge dan Vardy, England ketepikan Rooney

ST ETIENNE, Perancis 20 Jun – Kapten England, Wayne Rooney bakal diketepikan daripada kesebelasan utama untuk menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B Euro 2016 menentang Slovakia hari ini (esok, pukul 3 pagi waktu Malaysia), lapor media Britain.

England enggan keciciran mata dalam usaha mereka untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir dan pertahanan Kyle Walker dan Danny Rose turut senasib Rooney dalam perlawanan yang bakal berlangsung di St-Etienne itu.

Jordan Henderson akan menggantikan Rooney di bahagian tengah, manakala Nathaniel Clyne dan Ryan Bertrand akan berada di bahagian bek kanan dan kiri.

Penyerang Daniel Sturridge dan Jamie Vardy, di mana kedua-duanya muncul sebagai ‘supersub’ ketika England menumpaskan Wales 2-1, akan turun selaku kesebelasan utama.

England kini munduduki tangga teratas dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan Slovakia dan Wales, diikuti Rusia tercorot.

Kemenangan ke atas Slovakia akan meletakkan England selaku juara Kumpulan B dan memastikan mereka akan menentang salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga di peringkat kumpulan yang mara ke pusingan kedua, sekali gus memberikan mereka peluang besar untuk meneruskan kemaraan.

Seri atau kalah bakal menjadikan keadaan semakin sukar, bergantung kepada bagaimana keputusan Wales menentang Rusia.


Menentang Slovakia, ancaman terbesar England mungkin datang daripada pemain tengah Marek Hamsik yang merancang gol disempurnakan Vladimir Weiss dan menjaringkan satu menerusi rembatan melengkung ketika mereka menang 2-1 ke atas Rusia.

Weiss membayangkan Sturridge, bekas rakan sepasukannya di akademi Manchester City, sebagai pemain berbahaya England.

“Dia seorang pemain luar biasa, yang boleh disaksikan di kedua-dua peringkat kelab dan negara,” katanya.

Bagi Slovakia yang bermain dalam pusingan akhir Kejohanan Eropah pertamanya, pertaruhan dalam perlawanan ini memang tinggi.

“Inilah apa yang kami mahukan, apa tujuan kami datang, untuk membuktikan sesuatu yang besar dan bahawa kami mampu diukur standing dengan pasukan seperti England,” kata pemain tengah Dusan Svento. – REUTERS