Gabor Kiraly Yakin Beraksi Bersama Seluar Panjang Kelabu

Penjaga gol Hungary, Gabor Kiraly, menjadi antara fokus utama perlawanan setiap kali saingan Kumpulan F berlangsung.

Manakan tidak, pemain berusia 40 tahun itu gemar menyarung seluar panjang berwarna kelabu berbanding seluar pendek yang di pakai penjaga gol lain.

Dia turut melakar nama sebagai pemain tertua dalam edisi Kejohanan Eropah kali ini.

Hungary berjaya mara ke pusingan 16 selaku juara kumpulan buat pertama kali sejak Piala Dunia 1986 di Mexico.

Kebangkitan bola sepak Hungary dan pilihan pakaian Kiraly telah mencetuskan fenomena di negara itu di mana rakyat yang bekerja di saran memakai seluar berwarna kelabu apabila hadir ke tempat kerja sebagai tanda sokongan.

Bekas penjaga gol Crystal Palace itu mengakui sedar akan fenomena tersebut dan ingin menggunakan senario itu sebagai satu kelebihan.

“Saya ada mendengar desas-desus ini.


“Seluar kelabu ini bermula 20 tahun lalu, bermula di Hungary dan seperti mengubah nasib saya. Kemudian saya ke Hertha Berlin dan ia membawa nasib yang baik buat saya dan kelab kami dalam saingan Liga Juara-Juara. Selepas itu, saya bawa ke London bermain bersama Crystal Palace.”

“Saya bermula dengan hitam tetapi selepas bertukar ke kelabu sungguh memberi motivasi kepada saya kerana semuanya seperti sempurna.”

“Saya telah membuka jenama pakaian sukan saya sendiri pada 1 April lalu dan saya mahukan jenama itu berkembang,” ujarnya.

Paris ketika ini sedang dilanda cuaca panas, namun Kiraly menjelaskan ia tidak menghalang pemakaian seluar panjang itu.

“Saya menggunakan bahan yang istimewa, fabrik digunakan teramat nipis dan tidak berat.

“Sebab itulah walaupun ketika ini musim panas, seluar yang saya pakai itu tidak berat,” jelasnya.

Difahamkan, Kiraly turut menyarung seluar tersebut ketika sesi latihan.

“Saya membawa tiga helai seluar, tetapi penjaga jersi kami memegang sekurang-kurangnya 10 helai seluar panjang saya,” katanya.