Elavarasan Sudah Tawar Hati Dengan Guerra

Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, tampak tawar hati untuk menerima semula tonggak utamanya, Gabriel Guerra, selepas penyerang dari Argentina itu dipercayai masih ada kaitan dengan pihak luar.

Guerra kembali ke pangkuan skuad PKNS selepas gagal melapor diri sejak Selasa lalu dengan alasan tidak boleh berlatih kerana belum bersedia mental dan fizikal.

Kehadirannya semalam disambut baik oleh rakan sepasukan, namun sebaliknya oleh barisan kejurulatihan.

“Kita akan menyiasat bagaimana perkara ini boleh terjadi. Kenapa pemain yang ada kontrak sepertinya boleh jadi macam ini.

“Jadi, untuk kebaikan pasukan, pemain yang kita akan ambil tahun depan perlu berhati-hati dan mengambil tahu apa itu kontrak,” katanya.

Guerra mencetus kontroversi apabila berada di Johor Bahru bersama pegawai dan pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sambil menyarung baju-T tertera logo pasukan itu.

Seolah-olah tidak menghormati maruah majikan, situasi itu menimbulkan tanda tanya kepada PKNS mengenai tujuannya ke sana.


Ketika ditanya mengenai kedudukan Guerra menjelang tarikh akhir jendela kedua perpindahan pemain, ini reaksi Elavarasan: “Pada masa ini, belum ada info daripada pihak pengurusan. Adakah perlu saya ambil berat, adakah perlu saya lepaskannya, belum ada info apa-apa lagi. Mungkin minggu depan saya akan tahu dan membuat keputusan yang terbaik,” tambahnya.

Sebelum ini pemain import PKNS FC, Gabriel Guerra, berikrar untuk mencurahkan sepenuh komitmennya untuk menjulang pasukan itu ke tahap lebih tinggi selepas dipalit kontroversi mengenai ‘kehilangannya’.

BACA: PKNS FC Menunggu Kepulangan Gabriel Guerra

Produk Argentina itu gagal melaporkan diri awal minggu ini, selepas tempoh rehat dua minggu yang diberikan kelab itu berakhir.

Apatah lagi, ketika percutiannya, gambarnya memakai baju tertera logo Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebar luas sehingga mencetuskan tanda tanya.

Stadiumastro