Copa America: Peru Tunjukkan Brazil Jalan Keluar

FOXBOROUGH 13 Jun – Brazil gagal mara ke suku akhir Copa America Centenario selepas tewas tipis 1-0 kepada Peru dalam aksi terakhir kumpulan B di Stadium Gillette, sebentar tadi.

Penyerang Peru, Raul Ruidiaz menjadi wira apabila menjaringkan gol tunggal pasukannya pada minit ke-75 biarpun penjaga gol Brazil, Alisson Becker mendakwa gol itu dijaringkan menggunakan tangan.


Malah, pengadil perlawanan daripada Uruguay, Andres Cunha terpaksa mengambil masa hampir lima minit sebelum mengesahkan jaringan itu sekali gus menjadikan Peru juara kumpulan B dan bakal bertemu Colombia pada aksi suku akhir.

Brazil memerlukan sekurangnya keputusan seri untuk layak ke pusingan seterusnya.

Juara dunia lima kali itu disingkirkan daripada kejohanan di peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1987. Kali terakhir Peru mengalahkan Brazil ialah pada perlawanan persahabatan pada tahun 1985.