Chong Wei Kembali Bergelar Pemain No. 1 Dunia

Badminton: Lee Chong Wei gets Olympic boost with Indonesia Open winJAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kini kembali bergelar pemain No. 1 dunia selepas menjua­rai kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Indonesia semalam.

Dia menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 17-21, 21-19, 21-17 pada perlawanan akhir di Istora Se­nayan, Jakarta semalam.

Kemenangan itu turut menyaksikan pemain kelahiran Pulau Pinang itu menyamai rekod legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat dan Ardy Wiranata apabila berjaya merangkul gelaran Terbuka Indonesia sebanyak enam kali terma­suk gelaran pada 2007, 2009, 2010, 2011 dan 2013.

Pada aksi penuh mendebarkan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta itu, Chong Wei dikejutkan de­ngan aksi cukup mantap daripada Jorgensen selepas menyaksikan pemain Denmark itu menguasai set pertama dengan mendahului 14-9 sebelum Chong Wei kembali menyamakan kedudukan 14-14.

Bagaimanapun, set pertama itu nyata milik Jorgensen apabila anggota skuad juara Piala Thomas 2016 itu berjaya menjarakkan kedudukan, sekali gus menang 21-17.

Kebangkitan Chong Wei bermula pada set kedua apabila dia mula menampilkan aksi sebenar dan mendahului perlawanan 11-8, namun Jorgensen nya­ta merupakan lawan yang cukup liat apabila terus memberi tekanan kepada Chong Wei dengan mendahului 19-17 sebelum Chong Wei memperkemaskan aksi untuk menang 21-19.

Pada set penentuan, Chong Wei langsung tidak memberikan ruang buat Jorgensen untuk beraksi de­ngan lebih selesa apabila mengutip mata demi mata untuk mendahului 13-10. Namun, Jorgensen terus cuba untuk mengejar tetapi tuah jelas memihak kepada Chong Wei apabila melengkapkan kemenangan berharga 21-17.


“Secara jujur, saya sangat bangga dan gembira kerana mampu untuk merangkul kembali gelaran Terbuka Indonesia. Saya juga gembira dengan sokongan padu yang diberikan para penyokong tempatan yang hadir pada hari ini (semalam). Terima kasih kepada mereka.

“Saya juga tidak pasti sama ada ini merupakan Terbuka Indonesia yang terakhir buat saya. Bagaimanapun, saya akan buat keputusan selepas mengambil kira tahap kecergasan saya selepas berakhirnya Sukan Olimpik nanti,” kata Chong Wei selepas tamat perlawanan.

Kemenangan itu juga membolehkan Chong Wei melebarkan rekod kemena­ngan ke atas Jorgensen apabila memenangi 16 daripada 17 perlawanan yang mempertemukan kedua-dua jaguh berkenaan sebelum ini.

Untuk rekod, Chong Wei mengekalkan kedudukan sebagai pemain No. 1 dunia sejak 2006 sehingga 2014 sebelum dia terlibat de­ngan skandal doping.

Ini menyaksikan kedudukan rankingnya terus menjunam ke-180 dunia selepas menjalani penggantungan selama lapan bulan, iaitu ranking terburuk sepanjang kariernya.

Chong Wei kini dalam persiapan menjelang kejohanan badminton Terbuka Austra­lia yang akan bermula esok sehingga 12 Jun ini sebelum mengalihkan sepenuh perhatian kepada persediaan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4AlgYhqJ3
Hakcipta terpelihara