TMJ: FAM TIDAK PATUT BERI MUKA PESALAH RASUAH

TMJTunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak seharusnya memberi pengampunan kepada bekas pemain yang terlibat rasuah pada era 90an.

FAM pada Isnin telah memberi pengampunan kepada 73 bekas pemain yang terlibat dengan gejala rasuah bola sepak pada tahun 1994-1995, sekaligus membuka laluan buat mereka kembali aktif dalam bola sepak.

Namun TMJ melihat perkara itu hanya akan membawa impak negatif berbanding positif terhadap bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

“Adakah FAM mengambil kira akan kesan masa panjang terhadap bolasepak tanahair kerana sekiranya gejala rasuah dianggap mudah untuk diberi pengampunan.


“Bagaimanakah ianya akan menjadi pengajaran kepada pemain generasi baru?” demikian antara persoalan ditimbulkan pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

TMJ melihat FAM seharusnya mengambil pendekatan tegas kerana pengampunan hanya membuka ruang buat gejala rasuah kembali bermaharajela dalam saingan Liga Malaysia.

“Bolasepak pada masa kini sudah mula menuju ke kancah kegemilangan, tetapi tindakan ini seolah-olah membenarkan gejala rasuah kembali bertapak semula dalam sukan ini kerana pemain tidak lagi akan dihantui perasaan takut disebabkan yakin mampu mendapatkan pengampunan suatu masa nanti.

“Rasuah sudah cukup memburukkan keadaan tetapi rasuah secara terbuka, tiada kata-kata untuk dikatakan.”

Stadiumastro