Tiki-Taka sangat membosankan – Giovanni Trapattoni

Giovanni Trapattoni bersama Matthaus, Brehme dan Klinsmann ketika melatih Inter Milan 1986–1991

MADRID – Tanpa berselin­dung, Giovanni Trapattoni mengakui kagum terhadap jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone kerana berjaya membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Selain itu, Trapattoni turut kagum terhadap corak permainan yang diamalkan Atletico meskipun mereka dibebani tekanan semasa ditewaskan Bayern Munich 2-1 pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Pada aksi separuh akhir pertama di Vicente Calderon minggu lalu, gol solo disudahkan Saul Niguez membolehkan Atletico meraih kemena­ngan 1-0 ke atas Bayern Munich.

Perlawanan separuh akhir kedua di Allianz Arena pagi semalam pula menyaksikan Atletico tewas 1-2, namun kelab dari Sepanyol itu layak ke final berdasarkan ke­lebihan gol di tempat lawan.

Bagaimanapun, Atletico dikecam sebilangan besar penyokong mereka sendiri kerana mengamalkan gaya permainan agresif serta melakukan kekasaran terhadap pemain-pemain skuad lawan.

Giovanni Trapattoni bersama Plantini ketika melatih Juventus 1976–1986

Sehubungan itu, Trapattoni yang pernah membimbing Juventus, Inter Milan, Bayern Munich serta skuad kebangsaan Itali, menyifatkan corak permainan diamalkan Simeone memiliki persamaan de­ngan bekas pasukan-pasukannya.

Trapattoni turut percaya, Atletico di bawah bimbingan Simeone te­lah mempamerkan gaya permainan baharu yang menjadi alternatif kepada rentak Tiki-Taka.

“Lebih baik kalau saya tidak sebut nama pasukan, masih ada pasukan yang mengamalkan hantaran Tiki-Taka. Selain tidak mampu membantu menjaringkan gol, Tiki-Taka juga buat saya mengantuk kerana ia sangat membosankan.

“Saya lebih suka cara Simeone, saya boleh ulang kenyataan itu beratus kali. Simeone seseorang yang bijak dan sentiasa menjanjikan debaran menerusi corak permainan lebih keras dan pantas.

“Pasukan di sebelah sana (Ba­yern) pula bermain dengan taktik hantaran sahaja. Saya fikir, ia benar-benar menipu penyokong,” kata bekas ketua jurulatih berusia 77 tahun itu. – Agensi